Pasukan Malaysia dengan Condor dalam misi PBB di Somalia (photo : Militaryphotos)
MENJEJAKKAN kaki ke dalam kenderaan pengangkutan infantri (APC) jenis RPZ Condor dianggap pengalaman paling bermakna, terutama apabila mengimbau kembali kesulitan dihadapi 60 tentera Malaysia ketika berdepan serangan hendap bertubi-tubi kumpulan militia di kawasan Pasar Bakara di Mogadishu, Somalia, dalam tragedi `Black Hawk Down’ pada Oktober 1993.
Walaupun hanya seketika, ia sudah cukup untuk memberikan gambaran betapa sengsaranya keadaan perajurit negara yang terpaksa berkubukan hanya dinding jentera RPZ Condor dalam usaha menangkis peluru militia, termasuk senjata antikereta kebal dan pelancar grenade yang menghujani mereka tanpa henti.
Namun, saat menjejakkan kaki ke tempat duduk pemandu, perasaan tiba-tiba menjadi sebak terutama mengenangkan di situlah mayat wira negara, Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang, terkujur layu selepas RPZ Condor dengan nombor pendaftaran ZA9341 dipandunya ketika tragedi itu musnah akibat terkena serangan tepat senjata anti kereta kebal.
Selain Mat Aznan, sembilan lagi rakan setugasnya yang juga dari Batalion 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis berpangkalan di Sungai Petani, Kedah, turut dilapor parah akibat serangan sama.
Namun, di sebalik keperitan itu, timbul rasa bangga dan kagum dengan keupayaan jentera RPZ Condor berkenaan, yang menjadi perisai utama kepada 60 perajurit negara ketika berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Operasi UNOSOM II antara 18 Jun 1993 hingga 11 Januari 1994.
Justeru, tidak hairanlah RPZ Condor yang menjadi kebanggaan warga 19 RAMD Mekanis, terutama ZA 9341 yang dipandu Koperal Mat Aznan dinobat sebagai Ragaan Utama batalion berkenaan dengan nama `AZNAN’, sekali gus membuktikan keupayaan tinggi serta jasa besar jentera terbabit dalam setiap misi disertai pasukan.
Condor APC 4x4 buatan Rheinmetall German (photo : kolonel)
Condor adalah kenderaan jenis APC keluaran Jerman dan direka khusus untuk menyediakan pertahanan menyeluruh daripada sebarang serangan senjata ringan, pecahan peluru meriam atau pun periuk api kecil. Malah, ketika berkhidmat bersama Malaysia di Somalia melalui UNOSOM II, RPZ Condor terbukti kebal apabila berjaya menangkis serangan peluru roket RPG-7 dalam pertempuran di Pasar Bakara, walaupun seorang tentera Malaysia dilapor terkorban dan sembilan yang lain parah.
Apa pun, keupayaan RPZ Condor dalam ops berkenaan tidak akan lengkap tanpa keseragaman tindakan kru terlatih yang dikenali sebagai Pasukan Tempur Unit Infantri Batalion 19 RAMD Mekanis.
Ini diakui sendiri Pegawai Pemerintah Batalion 19 RAMD Mekanis, Lt Kol Fazal Abdul Rahman, yang menganggap kedua-duanya (RPZ Condor dan Pasukan Tempur) sebagai saling melengkapi satu sama lain.
“Setiap jentera lengkap RPZ Condor mengandungi 10 kru tempur terdiri daripada pemandu, ketua kenderaan, pasukan peninjau serta kru penembak senjata bantuan.
“Tanpa kru tempur ini, sebuah RPZ Condor tidak akan sempurna dan keberkesanan jentera juga sudah pasti terbatas. Ini sekali gus akan mengganggu gugat kesempurnaan setiap misi yang dijalankan,” katanya.
Dari segi reka bentuk, RPZ Condor dianggap APC paling fleksibel kerana bukan saja sesuai untuk kegunaan dalam serangan berbentuk amfibia, malah boleh diangkut ke lokasi tertentu secara mudah melalui udara menggunakan pesawat C-130 Hercules atau C-160.
Dalam aspek penggunaan pula, Condor yang sinonim dengan fungsinya untuk mengangkut unit infantri bersenjata, sebenarnya boleh diubah suai dengan mudah sekali mengikut keperluan penggunaan, termasuk bagi tujuan pengangkutan kargo.
Malah, Condor juga diguna pakai untuk tujuan pemantauan dan pemerhatian, pengangkutan senjata dan pertahanan udara ringan, serta sebagai kenderaan anti-rusuhan.
Selain itu, APC ini juga boleh diubahsuai sebagai jentera sokongan logistik serta ambulans seperti yang dipraktikkan Malaysia, selain dilengkapi pelbagai variasi persenjataan.
Fazal berkata, kelebihan utama RPZ CONDOR adalah dari segi perintah dan kawalan, di mana setiap arahan operasi boleh diatur secara terus dan terkoordinasi ketika jentera sedang bergerak dalam formasi ke arah sasaran.
“Ini bukan saja dapat menjimatkan masa, malah sebarang perubahan dalam sasaran misi atau haluan juga boleh dikoordinasi secara terus melalui sistem komunikasi yang ada dalam kenderaan pada bila-bila masa tanpa perlu berhenti,” katanya.
Difahamkan, selain digunakan Malaysia khususnya Batalion 19 RAMD Mekanis menggantikan kenderaan perisai jenis V150 Commando buatan Amerika Syarikat pada 1989, APC Condor turut diguna pakai beberapa negara lain seperti Kuwait, Portugal (Polis Tentera Udara), Thailand, Turki, Uruguay dan Korea Selatan.
Malah, sepanjang berbakti bersama Batalion 19 RAMD Mekanis sejak 1989, RPZ Condor banyak memberi sumbangan ke arah keselamatan dan juga pembangunan negara melalui pembabitannya dalam pelbagai operasi baik di dalam mahu pun luar negara.
Antaranya termasuk pembabitan secara langsung dalam operasi yang diatur seperti Ops Bongsu, Ops Ganas, Ops Setia VIII, Ops Kota Charlie, Ops Kancil, Ops Foxport, Ops 797, Ops Gerak Sedar, Ops Kota Echo, Ops Sedar, Ops Gubir/Lenggong, Ops Sedar 4/85, Ops Setia, Ops Kota Charlie/Delta, Ops Tak Sin 8601, Ops Kota Charlie /Delta 4/86 dan Ops Kota Echo 2/84.
Ketika operasi terbabit, katanya, selain melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan, pasukan itu juga berjaya mencapai beberapa kemajuan. Antaranya kejayaan merampas 23 ketul candu mentah seberat 49 kilogram di Sungai Temin, Kedah melalui Operasi Kota Bravo Pagar pada Mac 1985.
Selain itu, pasukan itu juga terbabit dalam misi luar negara di bawah panji PBB, termasuk melalui Operasi UNOSOM II sebagai kumpulan utama Malbatt 1, mulai 18 Jun 1993 hingga 11 Januari 1994 yang lebih dikenali sebagai peristiwa Black Hawk Down.
APC Condor 4x4 (photo : Berita Harian)
INFO: Data Teknikal APC Condor
-Berat kosong - 9,000kg
-Berat penuh - 12,400kg
-Panjang - 6,130mm
-Tinggi (termasuk Turret) - 2,770mm
-Laju maksima - (100 km/j)
-Laju (dalam air) - 10 km/j
-Persenjataan - Pelancar grenade 76mm/ GPMG (optional mengikut keperluan)
-Keanggotaan Unit Tempur - tujuh hingga 10 orang.
(Berita Harian)
Selamat bertugas dan sukses selalu, salam
BalasHapus