25 Januari 2014
AV8 during transports to Sabah (photo : Lowyat)
TAWAU – Kerajaan Persekutuan sudah mengambil segala langkah perlu bagi memastikan kawalan keselamatan ke atas negeri Sabah berada pada tahap terbaik selepas berlakunya insiden pencerobohan di Lahad Datu dua tahun lalu.
Terbaharu, 12 buah kenderaan tempur berperisai paling moden jenis pacuan lapan roda, AV8 Gempita, milik pasukan Mekanise Tentera Darat diserahkan kepada pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kehadiran aset tempur canggih itu telah meningkatkan lagi keyakinan rakyat Sabah bahawa Kerajaan Pusat tidak pernah mengabaikan negeri berkenaan.
“Aset tempur yang kita kenal pasti untuk Sabah hampir semuanya sudah berada di sini. Ini bukan lagi soal janji tetapi bagaimana kita mengotakan janji tersebut kepada Sabah dan Kerajaan Pusat sudah pun melakukan apa yang terbaik.
“Setakat ini dengan segala aset yang ditempatkan adalah lebih daripada memadai untuk Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi tempur Tentera Darat di Lapangan Terbang Tawau di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
AV8 yang merupakan kenderaan tempur berperisai termoden hasil pembangunan syarikat pertahanan gergasi tempatan, Deftech, dibina berasaskan teknologi Turki dan ditempatkan di Kem Kukusan, Tawau.
Kehadiran aset canggih itu bakal memberi taring berbisa kepada pasukan keselamatan di Esscom yang ketika ini sudah memiliki 18 buah kenderaan infantri tempur berperisai (MIFV) jenis berantai yang ditempatkan di Kota Belud.
Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata, satu batalion infantri lengkap dengan kekuatan 650 anggota di bawah Briged Esscom akan ditempatkan di Sabah sebaik sahaja kem di Felda Sahabat siap sepenuhnya.
Katanya, buat masa ini separuh daripada kekuatan batalion tersebut sudah pun ditempatkan sementara di Kem Kukusan, melibatkan seramai 22 pegawai dan 351 anggota untuk menjaga keselamatan wilayah timur negeri ini daripada diceroboh.
“Apa yang saya ingin tegaskan ialah pasukan keselamatan dan aset-aset pertahanan negara kini berada dalam keadaan siap sedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan sebarang ancaman ke atas bumi Sabah,” katanya.
(Utusan)
These are the DefTech AV8 Gempita (IFV-25 Variant) is fitted with a one-person FNSS Sharpshooter turret armed with a stabilised ATK Armament Systems M242 25 mm dual-feed cannon and an FN MAG 58M 7.62 mm co-axial machine gun (MG).
BalasHapus