22 Mei 2013

Eksesais Belangkas TD Berjaya

22 Mei 2013


 Aksi anggota tentera berjaya mendarat untuk menggempur musuh di daratan pada Eksesais Belangkas Siri 27/2013 di Kampung Telok Gong, Melaka (all photos : lowyat, utusan)

ALOR GAJAH  - Tentera Darat (TD) berjaya menjalankan Eksesais Belangkas sebagai persediaan menghadapi eksesais gabungan dua hala antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) dan Kor Marin Amerika Syarikat (USMC) di Kuantan, Pahang pada 15 hingga 23 Jun depan.

Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan TD, Mejar Jeneral Datuk Abdul Samad Yaacub berkata, eksesais ketenteraan bersama USN dan USMC itu turut melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta dibantu Tentera udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurutnya, eksesais gabungan yang dikenali sebagai Exercise Cooperation Afloat Readiness and Training (EX CARAT) itu akan memberi fokus kepada operasi amfibi terhad.



"Pihak USN sering mengadakan latihan tersebut di negara ini atas faktor kebolehan tentera kita berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris selain penggunaan terma ketenteraan kedua-dua negara yang tidak jauh berbeza," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis Penutupan Eksesais Belangkas Siri 29/2013 di Kampung Teluk Gong, Pengkalan Balak, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksesais yang juga Panglima 10 Briged Para, Briged Jeneral Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik; Pegawai Memerintah KD Sri Mahawangsa TLDM, Kapten Roslee Mohamad Isa dan Pegawai Staf 2 Eksesais Markas Operasi Udara TUDM, Mejar Izwan Zainal Amran dan AKS Fleet Operation Command TLDM, Laksamana Datuk Chin Yoon Chin.

Sementara itu jelas Abdul Samad, Eksesais Belangkas yang diadakan kali ini melibatkan kira-kira 860 pegawai dan anggota dari ketiga-tiga komponen tentera.

"Objektifnya adalah untuk melatih staf perancang bagi Proses Perancangan Operasi Amfibi Bersama dalam persekitaran operasi untuk mempertingkatkan sinergi sebagai sebuah operasi amfibi.



"Eksesais ini juga bertujuan untuk menguji keberkesanan sistem komunikasi Inter-Service khasnya kemampuan komunikasi kapal ke darat.

"Selain itu, ia juga mampu menguji keberkesanan teknik, taktik dan prosedur terhadap penggunaan platform amfibi yang dikenal pasti dan melatih kedua-dua komponen TD dan TLDM dalam melaksanakan operasi pendaratan amfibi," jelasnya.

Dalam eksesais itu, tambahnya, integrasi komponen ketiga-tiga perkhidmatan dapat dikoordinasi dengan baik merangkumi pengguguran Tim Gerak Gempur dengan pesawat TUDM C130, pelepasan Tim Fast Rooping dari Paskal dan Paskau menggunakan pesawat Nuri diikuti pendaratan amfibi oleh komponen TD dari Kapal KD Sri Mahawangsa.

(Utusan)

1 komentar: