06 Januari 2011

Pusat Industri Pertahanan Pertama Negara Mampu Raih RM15.3b

06 Januari 2011



Beberapa produk industri pertahanan Malaysia (photo : Deftech)

KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin pusat industri pertahanan pertama negara yang bakal dibangunkan di Sungkai, Perak, mampu meraih jumlah pelaburan bernilai RM15.3 bilion dalam masa lima tahun selepas ia mula beroperasi pada 2014.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu berdasarkan jangkaan awal jumlah pelaburan bagi tahun pertama iaitu sebanyak RM3.3 bilion ekoran minat mendalam yang ditunjukkan oleh syarikat pertahanan antarabangsa.

"Ia satu komitmen antarabangsa dan setakat ini penglibatan syarikat-syarikat pertahanan dari Eropah, Amerika Utara, Korea Selatan dan Jepun memperlihatkan petanda yang baik. Jangkaan awal jumlah pelaburan sebanyak AS$ 1 bilion (RM3.3 bilion) akan dapat dilihat dalam waktu terdekat.

"Bagi tempoh lima tahun pertama, kita sasar pelaburan berjumlah AS$ 5 bilion (RM15.3 bilion) sebaik syarikat multinasional mula melabur," katanya selepas menyaksikan perjanjian persefahaman antara Masterplan Consulting Sdn. Bhd. dengan Blenheim Capital di sini hari ini.

Perjanjian persefahaman antara Masterplan dan syarikat pertahanan dari United Kingdom (UK) itu bagi membangunkan pusat industri pertahanan tempatan di kawasan seluas 480 hektar, agar ia berupaya memacu sektor berkenaan sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab pertahanan ASEAN.

Hadir sama ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Masterplan, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif Blenheim, Grant Rogan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kos bagi membangunkan pusat industri pertahanan itu berjumlah RM6 bilion dan dijangka, kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan selepas operasi kerja tanah dimulakan pertengahan tahun depan.

Sementara itu, Rogan berkata, beliau yakin dengan potensi Sungkai untuk menjadi pusat industri serta hab pertahanan serantau memandangkan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut mempunyai komitmen jitu.

Katanya, Blenheim dengan kerjasama Masterplan akan berusaha sebaik mungkin bagi menarik minat syarikat pertahanan terkemuka Eropah dan Amerika Syarikat (AS) untuk melabur dalam pelbagai segmen pertahanan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, pengurangan peruntukan untuk Kementerian Pertahanan kepada RM9.1 bilion tahun ini, berbanding RM9.8 bilion tahun lepas tidak akan menjejaskan operasi kementerian dalam menjaga kepentingan dan keselamatan negara.
Ahmad Zahid berkata, biarpun tanpa pembelian sebarang aset baru tahun ini, pihaknya akan melakukan beberapa pembangunan terhadap operasi berdasarkan kemampuan kewangan yang ada.

Sebagai contoh katanya, kementerian akan melaksanakan program penghayatan semula ke atas inventori pelbagai jenis peluru dalam perkhidmatan termasuk yang melibatkan aset sensitif seperti peluru berpandu.

"Menyedari hakikat belanjawan tahun ini dikurangkan, tentu sekali ia akan menjadi kekangan kepada aktiviti yang sudah dirancang namun ia tidak akan dapat mengurangkan daya juang serta daya saing pasukan pertahanan kita," katanya selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Ismail Ahmad; Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin serta ketiga-ketiga panglima daripada perkhidmatan tentera laut, darat dan udara.


(Utusan)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar