04 Februari 2012
Turret Denel LCT30 30mm yang akan dipasang pada kendaraan AV8 8X8(photo : Malaysian Defence)
850 Syarikat Pertahanan Dan Keselamatan Sertai DSA 2012
KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Sebanyak 850 syarikat industri pertahanan dan keselamatan dari 45 negara mengesahkan penyertaan mereka pada Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan (DSA) 2012 ke-13, April ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seramai 25,000 pelawat perdagangan termasuk lebih 300 tetamu kenamaan dari 35 negara dijangka berkumpul pada pameran itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dari 16 hingga 19 April.
"Sebanyak 220 buah syarikat pertahanan dan keselamatan tempatan dijangka mengesahkan penyertaan mereka dalam acara tahun ini, dengan syarikat DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) akan menjadi peserta pameran terbesar di DSA 2012 nanti," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin dan Pengerusi DSA Tan Sri Asmat Kamaludin.
Ahmad Zahid berkata pada pameran itu, replika kereta perisai (APC)8x8 AV8 oleh Deftech akan juga dipamerkan.
"Saya tak fikir pada ketika itu prototaip 8x8 dah siap, tapi mock-up ada. Kita jangka AV8 akan siap menjelang hujung tahun ini," katanya.
Antara pengguna prototaip AV8 itu adalah unit perisai, inventori dan pasukan perubatan.
Kereta perisai AV8 adalah hasil peralihan teknologi dari syarikat pertahanan antarabangsa, FNSS dari Turki dan Denel Land Systems dari Afrika Selatan bagi membolehkan Malaysia mempunyai APC buatan sendiri yang pertama.
Ahmad Zahid berkata satu pembaharuan pada pameran pada kali ini iaitu acara kemuncak Forum Putrajaya 2012, akan diadakan pada 17 hingga 19 April anjuran Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) dan Kementerian Pertahanan.
Forum yang bertemakan "Meningkatkan Multilateral untuk Pertahanan dan Keselamatan Rantau" itu adalah Forum Putrajaya kedua yang dianjurkan MIDAS.
Ia adalah forum dialog pertahanan dan keselamatan yang akan menghimpunkan lebih 300 peserta yang terdiri daripada pakar tempatan dan antarabangsa, pegawai tentera dan agensi keselamatan, penggubal dasar, penyelidik dan peserta industri bagi menangani dan membincangkan isu-isu yang berkepentingan strategik bersama Asean dan negara-negara yang mempunyai kepentingan terhadapnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar