22 Agustus 2013
KDB Daruttaqwa adalah kapal patroli keempat dari Darussalam class (photo : Brunei Mindef)
Berkenaan Berangkat ke Majlis Pelancaran dan Penamaan Kapal Daruttaqwa TLDB
BERNE, JERMAN - Dalam menjana keselamatan perairan negara dan teluk rantau, kemampuan untuk terus memantau dan bertindak bagi sebarang ancaman ke atas laluan dan aset ekonomi di perairan bukan sahaja memerlukan perkapalan dan sistem persenjataan yang canggih, malahan kewibawaan dan semangat waja anggota-anggota yang diberikan amanah.
Sehubungan itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Leftenan Pengiran Muda ’Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran dan Penamaan Kapal Terbaru Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kapal Peronda DARUTTAQWA, di limbungan Syarikat Pembinaan Kapal Luerssen, Berne, Niedersachsen, Republik Persekutuan Jerman di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Leftenan Pengiran Muda ’Abdul Mateen di limbungan kapal dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Persekutuan Jerman, Tuan Yang Terutama Pehin Datu Panglima Kolonel (Bersara) Dato Paduka Haji Abdul Jalil bin Haji Ahmad, Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Halim bin Haji Mohd. Hanifah, dan Pengarah Urusan Syarikat Pembina Kapal Luerssen, Tuan Peter Luerssen.
Sejurus keberangkatan tiba, YTM dijunjung melawat ke atas kapal Peronda DARUTTAQWA untuk meninjau perkembangan pembinaan kapal tersebut dan seterusnya bergambar ramai di kawasan geladak pelantar kapal tersebut.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Majlis Pelancaran dan Penamaan Kapal Peronda DARUTTAQWA yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Faatihah dipimpin oleh Penolong Ketua Jabatan Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kapten Ariffin bin Amit dan diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Pengarah Urusan Syarikat Pembina Kapal Luerssen, Tuan Peter Luerssen.
Pada majlis tersebut, YTM berkenan mengurniakan sabda pelancaran dan penamaan Kapal Peronda DARUTTAQWA diikuti dengan laungan azan.
Sejurus kapal Peronda DARUTTAQWA diturunkan hingga ke paras air buat pertama kalinya, doa selamat dibacakan oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB bagi memohon keberkatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, YTM berkenan menerima Pesambah dan menandatangani Lembaran Kenangan.
Kapal Peronda DARUTTAQWA akan ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Diraja Brunei sebagai kapal peronda luar pantai dan juga berfungsi sebagai kapal logistik dan latihan bagi anggota TLDB. Kapal ini mula dibina pada bulan Mei 2012 dan dijangka siap pada bulan Mei 2014 dan merupakan kapal peronda Kelas Darussalam yang berukuran 80 meter dengan berat 1,600 tan dan dilengkapi dengan landasan pendaratan helikopter.
DARUTTAQWA bermakna bahtera yang sentiasa dalam naungan perlindungan kesejahteraan daripada sebarang ancaman dengan benteng dan pemeliharaan dari Allah Subhanahu Wata’ala di mana anak kapal dan penumpangnya sentiasa menjunjung dan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan larangan agama dengan penuh ketaqwaan kepada Allah ‘Azza Wa Jalla.
Dengan adanya lagi Kapal Peronda DARUTTAQWA terbaru ini, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) kini menambah lagi bilangan kapal peronda barunya selain memiliki Kapal Peronda Luar Pantai daripada Kelas Darussalam yang dinamakan KDB Darussalam, KDB Darulehsan dan KDB Darulaman yang merupakan pengganti kepada kapal-kapal peluru berpandu lama daripada Kelas Waspada yang sudah berkhidmat lebih dari 30 tahun.
Selain daripada kapal peronda yang dimiliki, TLDB juga turut memiliki empat buah Kapal Peronda Laju dari Kelas Ijtihad sepanjang 41 meter iaitu KDB Ijtihad, KDB Berkat, KDB Syafaat dan KDB Afiat yang menggantikan Kapal Peronda Laju dari Kelas Perwira.
Dengan adanya penambahan kapal-kapal baru ini diharap anggota-anggota TLDB akan dapat mempertingkatkan lagi keupayaan mereka dengan ilmu pengetahuan dan aset moden serta canggih di samping sentiasa berusaha untuk berkembang maju selaras dengan perkembangan Kertas Putih Pertahanan.
Maka anggota TLDB perlu terus memanfaatkan kelebihan dan cabaran peranan yang bakal dan seterusnya akan sentiasa dipikul.
Dengan perolehan peningkatan permodenan kapal yang selaras dengan kehendak dan keperluan membanteras gejala-gejala dan aktiviti menjurus ke arah ancaman ke atas kepentingan negara ini, aset-aset baru tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin serta penghalang dan benteng pertahanan yang kukuh seterusnya peningkatan perkhidmatan dan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa maritim dan agensi yang lainnya.
Dengan adanya aset-aset ini, TLDB akan terus bersiapsiaga menabur baktinya kepada raja, bangsa, agama dan Negara Brunei Darussalam yang tercinta.
(Brunei Mindef)
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar