05 Desember 2010

GGK Selamatkan 'Tebusan'

05 Desember 2010

ANGGOTA Grup Gerak Khas menunjukkan ketangkasan dan kemahiran mereka. (photo : Utusan)

PUKUL 9.10 malam, 10 November 2010, sebuah pesawat Airbus A320 milik syarikat penerbangan AirAsia yang sarat dengan 107 penumpang dan enam juruterbang serta krew dari Taipei, Taiwan menuju Kuala Lumpur telah dirampas oleh sekumpulan pengganas.

Pengganas mengarahkan juruterbang agar mendarat di Kota Kinabalu untuk mengisi minyak sebelum meneruskan penerbangan ke Karachi, Pakistan.

Pada masa sama, kumpulan tersebut menuntut kerajaan Malaysia membebaskan ketua mereka, Abu Jahatan dan tiga orang rakan lain yang sedang ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Jam 10.13 malam, kumpulan berkenaan bertindak berlepas ke destinasi tidak diketahui selepas tuntutan mereka untuk mengisi minyak lewat ditunaikan oleh pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Keputusan itu dibuat bagi mengelak pasukan keselamatan melakukan operasi menyelamat.

Semasa memasuki ruang udara Semenanjung, pengganas mengarahkan juruterbang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengisi minyak.

Bagaimanapun, pesawat tidak dibenarkan mendarat di situ berikutan trafik udara yang sesak dan mereka diminta mendarat di Melaka.

Pada 10.17 malam, pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dan membuat tuntutan sama.

Mereka mengugut untuk membunuh tebusan sekiranya tuntutan berkenaan tidak dipenuhi selewat-lewatnya pukul 11 malam.

Jam 11.01 malam, tuntutan pengganas belum dipenuhi.

Akibatnya, seorang tebusan dibunuh dan mayatnya dicampak ke atas landasan. Pesawat berlepas meninggalkan Melaka menuju destinasi yang tidak diketahui.

Pada 11.03 malam, pesawat terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang kerana kehabisan minyak.

GGK adalah pasukan khusus Malaysia (photo : Discover Military)

Pada masa sama, pengganas membuat tiga tuntutan yang perlu dipenuhi kerajaan iaitu pengisian minyak dilakukan dengan kadar segera, ketua mereka Abu Jahatan dan tiga rakan lain dibebaskan serta pesawat dibenarkan keluar dari negara ini dengan selamat.

Jika tuntutan-tuntutan itu tidak dipenuhi atau ada usaha menyelamat cuba dilakukan pasukan keselamatan, mereka mengancam untuk membunuh semua tebusan dan meletupkan pesawat.

Kerajaan cuba berunding dengan pengganas, namun, tidak mendapat maklum balas positif.

Berikutan tindakan agresif pengganas, Majlis Keselamatan Negara mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pesawat meninggalkan Pulau Pinang dan melakukan misi menyelamat tebusan dengan segera.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerintahkan Panglima Tentera Darat mengatur gerak dan Markas 21 Grup Gerak Khas (GGK) diberikan tanggungjawab melaksanakan tugas berkenaan.

Itu adalah senario Eksesais Thunderbolt yang berlangsung dari 22 hingga 26 November lalu di Pulau Pinang.

Pihak media berpeluang membuat liputan operasi menyelamat tersebut menggunakan pesawat sebenar Airbus A320 di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas baru-baru ini.

Operasi dilakukan oleh pasukan Unit Lawan Keganasan (ULK) 11 Rejimen Gerak Khas pada pukul 3 pagi.

Dalam keadaan gelap-gelita, mereka diberikan masa 10 minit untuk menyempurnakan tugas mencabar itu.

Ternyata, ketangkasan dan kemahiran yang dimiliki pasukan khas tersebut membolehkan misi berjaya dilaksanakan mengikut perancangan.

Turut serta dalam latihan adalah pasukan-pasukan lain dalam Tentera Darat seperti Pemusnah Ordnans Letupan (EOD) dan Kor Kesihatan Diraja.

Agensi-agensi lain terlibat termasuk Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Malaysia Airports Berhad (MAB) dan AirAsia Bhd.

Hadir menyaksikan demonstrasi berkenaan ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud; Panglima 21 GGK, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Samad Yaakob dan Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Tajri Alwi.

Pada sidang akhbar selepas itu, Zulkifeli melahirkan rasa puas hati dengan kecekapan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya.

Katanya, latihan sedemikian penting bagi memastikan Tentera Darat sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk menangani krisis keganasan melibatkan pesawat yang dirampas dan dipaksa mendarat di negara ini.

“Kita tidak boleh menafikan pesawat kita atau milik syarikat penerbangan lain mungkin boleh dirampas oleh kumpulan pengganas dan kepakaran kita diperlukan untuk menangani krisis tersebut.

“Justeru, kecekapan pasukan khas perlu sentiasa dilihat termasuk keperluan persenjataan baru,” katanya kepada pemberita.

Selain itu, menurutnya, masih ada ruang untuk pasukan khas diberi penambahbaikan dari segi kelengkapan dan peralatan.

Ini kerana, jelas beliau, teknologi persenjataan berkembang dengan pantas dan amat wajar pasukan khas seperti ULK 11 Rejimen Gerak Khas bergerak mengikut peredaran semasa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar