29 Desember 2010

KD Selangor Ditauliahkan Dalam TLDM

29 Desember 2010

Kapal KD Selangor adalah korvet keenam seri Meko-100 yang dioperasikan AL Malaysia (photo : azbaa)

LUMUT - Majlis pentauliahan Kapal Diraja (KD) Selangor dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengembalikan legasi serta kemasyhuran kapal peronda KD Selangor yang telah dilucutkan tauliah pada 1995.

Sepanjang perkhidmatannya selama 32 tahun dalam TLDM sejak 1963, KD Selangor yang dibina oleh syarikat Vosper Thrnycraft Limited Portsmouth, England pada 1961 telah banyak berbakti dalam menjaga kedaulatan melalui siri rondaan di perairan negara.

Salah satu peristiwa penting yang tercoret dalam sejarah KD Selangor ialah pertempuran antara kapal itu dengan Kor Komando Penggempur Indonesia di Selat Singapura pada 24 Julai 1964.

Dalam pertempuran itu, KD Selangor yang di bawah pemerintahan Leftenan P.K Nettur telah berjaya membunuh semua musuh serta menenggelamkan bot mereka.

Namun, kejadian itu mengakibatkan Laskar Kelas Satu Mekanik Elektrikal, Abdul Samad Sulaiman terkorban manakala Laskar Kanan Persenjataan, Kweh Onn Cheong dan Pegawai Kadet Kanan, Musa Jabar tercedera.

Pada majlis pentauliahan KD Selangor, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, peristiwa itu membuktikan pengorbanan yang sanggup dilakukan oleh anak-anak kapal KD Selangor dalam mempertahankan kedaulatan dan integriti perairan negara.

''Oleh itu, saya harap pentauliahan KD Selangor ini dapat mengingatkan kita kepada rumpun sejarah perpaduan di antara The Navy People dan akan membakar semangat sedia berkorban di kalangan generasi baru warga kapal KD Selangor khasnya dan warga TLDM amnya," katanya.

Menurut Abdul Aziz, kehadiran kapal itu dapat memperkukuhkan kekuatan armada TLDM dalam menentukan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman dan anasir pencerobohan.

Katanya, KD Selangor dibina berkonsepkan fitted for but not with yang membolehkan kapal peronda itu menukar peranannya menjadi kapal bercirikan kombat tanpa perlu melalui proses pengubahsuaian yang rumit.

''KD Selangor juga direka bentuk sebagai sebuah kapal bestari iaitu kecanggihan peralatannya boleh dioperasikan dengan jumlah krew yang minimum tetapi berupaya mengekalkan tahap dan tempoh pengoperasian tinggi," ujarnya.

Krew pertama KD Selangor terdiri daripada 10 pegawai dan 58 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Komander Mohd. Samsuri Katemon selaku Pegawai Memerintah dan Leftenan Komander Mohd. Ezam Abdul Rahman sebagai Pegawai Laksana.

Beliau memberitahu, KD Selangor akan melaksanakan latihan kemahiran dan penyesuaian laut bagi menyediakan dan menyesuaikan fungsinya untuk menjalankan tugas-tugas operasi.

''Latihan yang juga dikenali sebagai 'work-up' ini bertujuan menentukan warga kapal yang baru ditauliahkan ini mempunyai tahap kesiagaan menyeluruh sebelum melaksanakan penugasan operasi yang sebenar.

''Apabila KD Selangor sudah bersedia sepenuhnya, kapal ini akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Lumut di bawah pemerintahan Markas Armada untuk melaksanakan tugas rondaan khususnya di perairan Selat Melaka," katanya.

Untuk rekod, KD Selangor sepanjang 91.1 meter dan lebar 12.8 meter menggunakan sistem persenjataan STN Atlas Cosys 110-M1 dan senjata utamanya ialah meriam 76 milimeter (mm) OTO Melara dan meriam 30 mm OTO Breda.

Selain KD Selangor, sebuah lagi Kapal Ronda Generasi Baru (NGPV) yang ditempatkan di Pangkalan TLDM Lumut ialah KD Kelantan.

Empat lagi NGPV iaitu KD Kedah dan KD Pahang yang dibina di Limbungan Blohm & Voss di Hamburg, Jerman ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah manakala KD Perak dan KD Terengganu ditempatkan di Pangkalan TLDM Kuantan.

Panglima Tentera Laut menyatakan, semua kapal peronda tersebut kini merupakan tulang belakang kepada segala operasi yang dilaksanakan di wilayah masing-masing.


(Utusan)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar