12 Oktober 2012

MDSTP Meterai MoU dengan 8 Syarikat Pertahanan Itali

12 Oktober 2012

MDSTP merupakan proyek seluas 485 hektar di Sungkai, Perak (photo : berita harian)

MALAYSIAN Defence And Security Tecknology Park Sdn. Bhd. (MDSTP) akan merancakkan lagi industri pertahanan negara apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lapan syarikat pertahanan Itali di London baru-baru ini.

Syarikat Itali terlibat ialah Alenia Aermacchi S.p.A, AgustaWestland S.p.A, Whitehead Alenia Sistemi Subacquei (WASS), Whitehead Alenia Sistemi Subacquei (WASS), Selex Galileo S.p.A, Selex Sistemi Integrati S.p.A., Sitt Liguria Technological District S.c.p.a dan Telespazio S.p.A.

MDSTP yang terletak di Sungkai, Perak merupakan syarikat kerjasama antara Kementerian Pertahanan dengan sebuah syarikat tempatan, Masterplan Consulting Sdn. Bhd. (MCSB).

Ketua Pegawai Eksekutif MDSTP, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim berkata, industri pertahanan memerlukan hab khusus yang serba lengkap bagi menyediakan platform pengembangan dan pengkomersialan teknologi di samping boleh merangsang dan menjana idea baru yang mampu membuahkan hasil lebih berdaya saing.

Menurutnya, MDSTP merupakan sebuah taman teknologi yang kos pembangunan keseluruhannya bernilai RM15 bilion dan mempunyai keunikan tersendiri apabila ia direkodkan sebagai hab industri pertahanan dan keselamatan terbesar negara dan yang pertama di rantau Asia.

"Ia membabitkan industri avionik dan aeroangkasa, automotif, maritim, senjata, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengguna biasa yang memberi sokongan kepada industri pertahanan," katanya dalam majlis tersebut di London baru-baru ini.

Turut menyaksikan majlis menandatangani MoU itu yang diadakan sempena Pameran Udara Farnborough 2012 itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Bagi peringkat awal, kata Ahmad Faris, kos pembangunan kasar (GDC) MDSTP adalah sebanyak RM1.4 bilion dan ia akan dilengkapi infrastruktur terbaik meliputi aspek fizikal, teknologi maklumat dan komunikasi serta mempunyai jalan masuk baru dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ke pusat logistik yang bakal menyediakan pengangkutan dan kemudahan pengagihan lebih lancar.

Katanya, kemudahan yang akan dibangunkan termasuk pusat pendidikan, pejabat, pusat komersial, kemudahan sokongan, pusat penginapan serta taman rekreasi yang dirancang akan memberi keseimbangan kepada MDSTP.

"MDSTP juga akan menyediakan kemudahan bertaraf dunia dan serba moden termasuk pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kemudahan keselamatan siber bagi memenuhi keperluan syarikat-syarikat industri pertahanan terbabit," katanya.

MoU itu dijangka menarik pelaburan baru ke negara ini berjumlah kira-kira RM4 bilion dan menawarkan 50,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang di sekitar Sungkai sepanjang tempoh pembangunannya selama 12 tahun.

Ahmad Faris berkata, selain faktor lokasi yang cukup strategik di ASEAN, kos buruh yang lebih rendah berbanding Itali, kestabilan politik, pasaran lebih luas, peluang perkembangan teknologi tinggi yang pesat membangun dan tawaran insentif menarik berjaya mempengaruhi pelabur Itali memilih negara ini sebagai tempat pelaburan menguntungkan.

Menurutnya, MDSTP dijadual memulakan kerja-kerja pembersihan tanah dan pembinaan infrastruktur awal tahun depan.

Beliau turut menjangkakan bangunan pertama di taman teknologi itu akan beroperasi pada suku ketiga 2014 dan syarikat Itali berkenaan bakal memulakan operasi pada tahun berikutnya.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar