20 Oktober 2012

BYO Marine Akan Pasarkan Fast Interceptor Craft Buatannya di ASEAN

20 Oktober 2012

Fast Interceptor Craft jenis Onuk MRTP16 yang dinamakan 'Penggalang' buatan BYO Marine bekerjasama dengan Yonca Onuk, Turki (all photos : Cari)

BYO Marine Mahu Pasarkan Bot Pemintas Laju Keluarannya di ASEAN

LANGKAWI, (Bernama) -- BYO Marine Sdn Bhd (BYO Marine), anak syarikat Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), yang terlibat dalam pembinaan bot pemintas laju (Fast Interceptor Craft) untuk kerajaan Malaysia berhasrat memasarkan FIC keluarannya ke negara lain di rantau Asean.

Pengerusinya, Laksamana (B) Tan Sri Ramlan Mohamed Ali berkata selepas kejayaan mereka menyempurnakan kontrak membekalkan FIC kepada kerajaan Malaysia, kini sudah tiba masanya syarikat itu mengembangkan lagi perniagaannya dan industri perkapalan Malaysia.

Katanya Malaysia mempunyai reputasi yang semakin kukuh dalam bidang pembinaan kapal dan bersedia untuk menjadi peserta penting di peringkat serantau.

"Kami sedang meningkatkan keupayaan tenaga kerja kami untuk mencapai sasaran tersebut. Infrastruktur dan limbungan kapal yang serba lengkap serta sokongan padu kerajaan akan mendorong pertumbuhan industri," katanya pada majlis penyempurnaan Kontrak Pembekalan 10 FIC Onuk MRTP16 Kepada Kerajaan Malaysia Untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Boustead Langkawi Shipyard, Bukit Malut di sini hari ini.


BYO Marine telah menyiapkan sepenuhnya kontrak dari kerajaan Malaysia untuk membekalkan 10 FIC dengan penyerahan dua bot terakhir iaitu Penggalang 18 dan 19 pada 16 Okt, 2012.

Bot untuk kegunaan APMM itu yang dibina oleh BYO Marine, iaitu kerjasama antara BHIC dengan rakan kongsi dari Turki, Yonca Onuk JV, diserahkan secara berperingkat-peringkat bermula dengan Penggalang 10 pada 17 Jun 2011.

Pada majlis itu, Ramlan menyerahkan dokumen penerimaan kepada Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Penguatkuasaan Maritim Malaysia Mohd Yassin Mustafa dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Amdan Kurish.

Ramlan berkata kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah rantau Asean yang merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia memberikan syarikat kelebihan unik.

"Kami bukan sahaja mampu memenuhi keperluan tempatan tetapi juga Negara jiran dan juga pihak lain yang menggunakan perairan kita. Kumpulan BHIC berhasrat untuk mengekalkan momentum pertumbuhan industri dengan cara yang tersusun demi menyokong cita-cita negara," katanya.


Beliau berkata pertumbuhan industri pembinaan dan pembaikan kapal bukan sahaja membuka peluang pekerjaan malah turut menjana kesan pengganda yang positif.

"Manfaat turut diperoleh oleh perniagaan kecil dan sederhana yang menyokong industri secara umum dan ini tidak secara langsung mengukuhkan lagi pembangunan sosioekonomi kawasan utara secara khususnya dan negara secara keseluruhannya," katanya.

Ramlan berkata kejayaan syarikat itu menyempurnakan kontrak mereka dengan kerajaan merupakan langkah penting ke arah mencapai cita-cita negara menjadi salah sebuah negara pembina dan pembaik pulih kapal yang terkemuka di dunia.

Katanya usaha sama dan pemindahan teknologi yang dilaksanakan jelas membawa pelbagai manfaat termasuk meningkatkan kemahiran, kepakaran teknikal dan keupayaan pekerja tempatan yang berbakat.

"Di bawah Pelan Strategik Pembinaan/Pembaikan Kapal 2020, Malaysia menetapkan sasaran untuk mencipta 20,000 peluang pekerjaan dalam industri ini menjelang 2020," katanya.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar