02 Agustus 2014

Perpisahan Bagi Pesawat Bell 212

02 Agustus 2014


Bell 212 Tentera Udara Brunei (photo : Brunei Mindef)

RIMBA - Pesawat Bell 212 Tentera Udara Diraja Brunei telah mengukir sejarah dengan membuat penerbangan yang terakhir pada 1 Ogos 2014 yang mana tiga pesawat jenis helikopter tersebut membuat penerbangan di dalam formasi merentas Tentera Darat Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei, Institut Latihan Diraja Brunei dan diakhiri dengan Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei. Turut serta dalam penerbangan tersebut adalah Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (U) Hj Wardi bin Abdul Latip yang mana beliau juga merupakan salah seorang juruterbang pesawat Bell 212 di fasa awal kerjaya penerbangan beliau. 


 Bell 212 Tentera Udara Brunei (photo : Brunei Times)

Pesawat Bell 212 memulakan perkhidmatannya di dalam Cawangan Udara pada bulan Februari 1974 selepas empat pesawat jenis tersebut menyertai No. 1 Skuadron. Pemerolehan Bell 212 telah dilaksanakan bertujuan bagi menggantikan pesawat Bell 205 yang mana pesawat Bell 212 yang menonjolkan kuasa tambahan dan peningkatan dari segi langkah keselamatan dan mempunyai keupayaan enjin kembar. Salah satu peranan utama dimainkan oleh pesawat jenis ini ialah perkhidmatan pengangkutan udara bagi doktor ke kawasan luar bandar di Negara Brunei Darussalam. Peranan ini telah dijalankan oleh pesawat Bell 212 sejak permulaan perkhidmatannya dalam 1974 sehingga hari terakhir perkhidmatannya pada tahun 2014. Bell 212 ialah sebuah helikopter yang terbukti keupayaannya disebabkan keserbabolehannya dan akhirnya ia menjadi tonggak kekuatan Tentera Udara Diraja Brunei. Tambahan pula ia bukan sahaja berupaya untuk menjalankan pelbagai tugas di kawasan terbuka Brunei, malahan juga di kawasan hutan yang kompleks dan tertutup. 

Tugas-tugas lain yang dilaksanakan oleh Bell 212 termasuk Operasi Mencari dan Menyelamat, penyediaan kuasa api penindasan dan penghantaran logistik melalui abseil atau jungle line resupply. Pesawat ini juga memainkan peranan di dalam menghantar anggoa tentera di dalam kawasan terhad menggunakan multi-rope abseiling dan fast roping bagi terup penyerang. Sepanjang perkhidmatan pesawat ini, ianya telah melalui pelbagai peningkatan dari segi keupayaan, yang mana pada lewat 1990-an, pesawat ini dinaiktarafkan dengan keupayaan Night Vision Goggle membolehkan pesawat Bell 212 melakukan operasi malam. 


Sikorsky S-70i pengganti Bell 212 Tentera Udara Brunei (photo : Brunei Times)

Jumlah pasukan yang mengendalikan pesawat Bell 212 terdiri daripada 43 anggota termasuk juruterbang dan kru pesawat serta pasukan kejuruteraan. Pasukan untuk penyahtauliahan pesawat Bell 212 diketuai oleh Leftenan Kolonel (U) Jasmin, yang merupakan salah seorang juruterbang kanan yang masih mengekalkan currency operasi di Bell 212 sehingga hari ini. Mejar (U) Hishamuddin yang pernah menjadi Pegawai Memerintah Skuadron No.1 dan Mejar (U) Hismawadi di dalam kapasiti sebagai Pegawai Memerintah Skuadron Piawaian aktif menjaga peranannya sebagai perintis ujian penyelenggaraan bagi pesawat Bell 212. 

Tentera Udara Diraja Brunei dan No. 1 Skuadron khususnya akan merindui gemuruh bunyi penerbangan Bell 212 di udara.

(Brunei Mindef)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar