12 September 2014

Penembakan Misil Bersepadu TLDM dan TUDM di Laut China Selatan

12 September 2014


Pesawat SU-30MKM selesai melaksanakan penembakan (photo : TLDM)

Kota Kinabalu – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berjaya melancarkan penembakan misil secara bersepadu di Perairan Laut China Selatan sekitar jam 9 hingga 11 pagi tadi. Penembakan yang dilancarkan dari aset TLDM dan TUDM ini telah berjaya mengenai sasaran udara dan sasaran permukaan yang disasar pada jarak dan kelajuan yang telah dirancang.


Kesan Impak dari Tembakan KH-31A (photo : TLDM)

Dalam penembakan pagi tadi, TLDM telah melancarkan misil SEAWOLF dari Kapal Diraja (KD) LEKIU ke sasaran tunda udara TGX-2. Manakala misil EXOCET MM40 dari KD KASTURI dan misil SEASKUA dari helikopter TLDM Super Lynx dan misil KH-31A dari pesawat pejuang TUDM SU-30MKM dilancarkan ke sasaran permukaan. Kesemua misil yang dilancar pada jarak yang dirancang ini, telah tepat mengenai dan memusnahkan struktur sasaran yang dibina khas untuk tujuan penembakan.

KD KASTURI melancarkan Misil MM40 (photo : TLDM)

Penembakan bersepadu ini merupakan kemuncak kepada Eksesais ANGSA 9/2014 yang telah bermula sejak 1 Sep dan dijadualkan berakhir pada 15 Sep 14. Eksesais ini dilaksanakan setiap tahun secara giliran di antara TLDM dan TUDM dengan elemen bantuan dari Tentera Darat Malaysia (TDM), dalam usaha meningkatkan latihan secara bersama (joint) antara kesemua cabang perkhidmatan ATM khususnya dalam senario peperangan maritim.


KD KASTURI melancarkan Misil MM40 (photo : TLDM)

Penembakan kali ini melakarkan sejarah, apabila buat julung kalinya pesawat pejuang TUDM, SU-30MKM melaksanakan penembakan misil sejak memasuki inventori ATM pada tahun 2007. TLDM dan TUDM turut melaksanakan perkongsian dalam pengoperasian penembakan dengan menggunakan struktur target permukaan yang sama untuk penembakan misil SEASKUA, KH-31A dan EXOCET MM40. Selain itu, siri latihan penembakan tahunan TLDM iaitu Operasi TAMING SARI 18/2014 juga turut digabung dan dilaksana sewaktu Eksesais ANGSA 9/2014.

Kesan Impak dari Tembakan Exocet MM40 (photo : TLDM)

Eksesais pada tahun ini melibatkan aset bantuan dari kedua-dua cabang perkhidmatan sebagai aset untuk keselamatan kawasan, tim sasaran, rakaman dan analisis. Antara aset TLDM yang terlibat ialah KD JEBAT, KD MAHAWANGSA, KD SELANGOR, KD KELANTAN, KD PAHANG, KD MAHAMIRU, KD LEDANG, Bot Tempur CB 90, Tim Penyelam, Weapon Trial and Assesment Team (WTAT), Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Tim Teknikal Misil dari Depot Peluru dan Letupan TLDM serta helikopter Fennec dan Super Lynx. Sementara aset TUDM yang turut terlibat ialah pesawat SU-30MKM, EC752 dan B200T.

KD LEKIU melancarkan Misil SEAWOLF (photo : TLDM)

Kejayaan penembakan misil bersepadu ini telah sekali lagi membuktikan bahawa kesiagaan ATM khususnya TLDM dan TUDM sentiasa di tahap yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara. Ia juga sekaligus meletakkan ATM antara pasukan Angkatan Tentera yang wajar digeruni di rantau ini.


VVIP yang turut hadir bagi menyaksikan penembakan bersepadu (photo : TLDM)

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Haji Jaafar, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor dan Panglima Operasi Udara TUDM Leftenan Jeneral Dato Seri Ackbal bin Haji Abdul Samad TUDM hadir menyaksikan penembakan ini dari platform kapal KD MAHAWANGSA di Perairan Laut China Selatan. Eksesais ANGSA 9/2014 dan penembakan misil ini dikelolakan oleh Panglima Armada, Laksamana Madya Dato Mohamad Roslan bin Mohamad Ramli selaku Pengarah Eksesais. Kejayaan Eksesais ANGSA 9/2014 membuktikan keupayaan saling khidmat (interperobality) antara elemen dalam ATM.

(TLDM)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar