02 Juli 2010

NGV Tech Mungkin Bina Kapal Perang TLDM

02 Juli 2010

Armada kapal korvet TLDM (photo : Militaryphotos)

KUALA LANGAT - Kerajaan mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada syarikat pembinaan kapal bumiputera, NGV Tech Sdn. Bhd. yang memiliki limbungan di Kampung Sijangkang di sini bagi membina kapal-kapal perang kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysi (TLDM) dan agensi-agensi maritim lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peluang tersebut mungkin ditawarkan berikutan syarikat berkenaan telah membuktikan kejayaannya membina kapal-kapal untuk banyak syarikat di seluruh dunia dengan keseluruhan kontrak mencecah berbilion ringgit sejak beroperasi di Terengganu 10 tahun lalu.

Sehingga kini tambah beliau, NGV Tech telah membina 227 kapal yang mengesahkan satu cerita kejayaan dan menjadi kayu pengukur kepada syarikat-syarikat dalam industri maritim antarabangsa.

''Saya diberitahu oleh Pengerusi Eksekutif NGV Tech, Zulkifli Shariff bahawa NGV boleh buat kapal perang yang canggih untuk kegunaan TLDM dan agensi-agensi lain.

''Semoga dengan keputusan yang sedang dibuat (untuk membina kapal perang) menjadi satu lagi rekod yang boleh dipaparkan kepada syarikat-syarikat lain dan kerajaan asing kerana mendapat kontrak yang besar," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap semasa lawatan kerja dan pelancaran 'Safir Kish 3', kapal krew 52 meter milik KISH ACME Tower Company Iran di Limbungan NGV Tech di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Pangliman Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

NGV Tech terkenal di peringkat antarabangsa kerana kejayaan membina kapal pesisir pantai bagi industri petroleum dan 80 peratus pesanan adalah dari luar negara.

Perdana Menteri turut menyatakan rasa bangga terhadap usaha NGV Tech itu kerana kejayaan diraih membolehkan syarikat tersebut menempah nama dan semakin tersohor di persada antarabangsa selain boleh dijadikan cerita kejayaan dari sudut pembangunan maritim di negara ini.

Malah tambah beliau, kualiti keusahawanan yang ada pada Zulkifli dan NGV boleh dijadikan teladan serta membuktikan berjaya meraih kontrak berbilion ringgit dari negara-negara seperti Amerika Syarikat, Norway, Belanda, India, Brazil dan Pakistan dilakukan tanpa ada apa-apa keistimewaan daripada kerajaan.

''Ini yang saya tekankan membina keupayaan kita untuk bersaing di peringkat global dan menjadikan kerajaan Malaysia berjaya dan maju dalam abad ke-21 tidak boleh dicapai kalau kita terus bersandar kepada kuota atau apa-apa keistimewaan dari kerajaan.

''Kita rakyat Malaysia, sama ada bumiputera atau tidak, boleh berjaya contoh

terbaik kejayaan yang dicapai oleh NGV Tech," ujarnya.

Najib berharap NGV Tech terus meningkatkan kemahiran ke tahap lebih tinggi kerana kepakaran canggih diperlukan dalam membina kapal-kapal perang.


(Utusan Malaysia)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar