27 Juli 2010

Tembakan Misil KD Tunku Abdul Rahman Tepati Sasaran

27 Juli 2010


Misil bawah permukaan ke permukaan Exocet SM-39 (photos : standupper)

KUALA LUMPUR - Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman hari ini berjaya melancarkan penembakan misil bawah permukaan ke permukaan, Exocet SM39 blok dua yang berjaya memusnahkan sasaran permukaan (STB) berukuran 40 meter.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, pelancaran tepat pukul 10.15 pagi tadi di kawasan Laut China Selatan membuktikan keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kapal selam negara menjalankan sebarang misi jika diperlukan.


"Misil yang dilancarkan tepat ke sasaran berukuran 40 meter pada kedudukan 40 kilometer (22 batu nautika) dari kedudukan kapal selam.

"Ia dilancarkan ketika KD Tunku Abdul Rahman berada pada kedalaman 55 meter iaitu paras di mana ia sukar dikesan oleh sistem penderia bawah air mana-mana kapal permukaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Misil Exocet SM39 blok dua merupakan aset negara yang diperolehi dari Perancis pada pertengahan 2008. Peluru berpandu sepanjang enam meter dan berdiameter 35 sentimeter itu seberat 2,100 kilogram.

Abdul Aziz menambah, penembakan itu merupakan sebahagian daripada aktiviti kontrak ujian tropika.

"Ia juga bertujuan mengesahkan keberkesanan misil Exocet SM39 blok dua dan sistem persenjataan KD Tunku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai SUBTICS KD TAR di kawasan laut beriklim tropika," ujarnya.

Beliau turut memberitahu, sebanyak 10 unit yang terlibat dalam penembakan tersebut akan turut menyertai latihan gabungan TLDM iaitu Eksesais Operasi Laut (Ostex) dan Latihan Integrasi Armada Kapal Selam (Subfit) yang berlangsung selama seminggu bermula Khamis ini di kawasan Gugusan Semarang Peninjau, Laut China Selatan.


(Utusan)

4 komentar: