23 Juli 2010

Kementerian Pertahanan Sahkan Pembelian Radar Pasif Tercanggih

23 Juli 2010

VERA-E passive radar system (image : ERA)

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan hari ini mengesahkan pembelian dua unit radar pasif tercanggih yang pernah dicipta sehingga kini iaitu Vera-E, dari Republik Czech bernilai RM72.5 juta.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, pembelian itu yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai sulit bertujuan memenuhi keperluan pengawasan ruang udara negara secara berlapis.

"Hasil daripada pembelian ini kita memperoleh pemindahan teknologi dalam sistem peperangan elektronik," katanya dalam ucapan penangguhan perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Negara hari ini.

Malaysia membeli 2 Vera-E (photo : militaryphotos)

Berbanding radar konvensional yang kedudukannya mampu dikesan oleh peralatan elektronik pesawat musuh, Vera-E mempunyai kemampuan untuk mengawasi ruang udara secara pasif (tanpa dapat dikesan kembali oleh musuh) secara 360 darjah dan sejauh 450 kilometer.

Kelebihan dan kecanggihan itu membolehkan mana-mana negara yang mengoperasikannya membuat persediaan awal untuk mempertahan dan menembak jatuh pesawat penceroboh tanpa disedari oleh pihak musuh.
Ekoran itu, Amerika Syarikat telah melarang Republik Czech daripada menjual radar itu kepada negara yang dianggap bukan sekutu yang boleh menjadi ancaman kepadanya termasuk Pakistan, China dan beberapa negara Asia Barat.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar