AKSI seorang anggota komando mempamerkan kemahiran menembak dengan gaya tersendiri pada Program Hari Media Bersama Kementerian Pertahanan di Pusat latihan Peperangan Khusus (Pulpak) di Kem Sungai Udang, Melaka baru-baru ini. (photo : Utusan)
Kedatanganmu tidak diundang, ragu-ragu sila pulang.
Begitulah kata-kata yang dipamerkan di pintu masuk Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Sungai Udang, Melaka.
Kata-kata itu sudah cukup untuk menggambarkan keunggulan pusat latihan itu dalam melahirkan modal insan pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Pasukan Khas Udara (Paskau).
Ditubuhkan pada 1 Januari 1977, peranan Pulpak dalam memantapkan ketumbukan pertahanan negara itu amat besar terutama bagi memastikan segala operasi memelihara kedaulatan negara daripada ancaman pengganas atau musuh negara dilaksanakan dengan jayanya.
GGK-Gerup Gerak Khas, pasukan komando dengan baret hijau (photo : Rejimen Gerak Khas)
Bukan sahaja anggota tentera tempatan, malah masyarakat luar turut memandang tinggi Pulpak sebagai 'kilang' bagi melahirkan tonggak pasukan elit mereka yang berdaya tahan, cekap dan berdisiplin seperti Brunei, Myanmar dan Maldives.
Tahun lalu sahaja, seramai 3,500 pelatih termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Komando Vat 69 dan anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selain warga ATM telah menjalani kursus-kursus di Pulpak.
Terdapat enam cawangan latihan beroperasi di pusat tersebut iaitu Komando, Muslihat Khas, Rigger, Payung Terjun, Pertahanan Diri dan Amfibi.
Cawangan Komando menjalankan lima modul khas iaitu kursus asas komando, sniper, penyelia sniper, mendaki tebing dan penyelia mendaki tebing manakala Cawangan Muslihat Khas merangkumi kursus ahli ronda, ketua ronda, sarjan, pegawai muda, tempur jarak dekat dan penyelia abseilling.
Cawangan Payung Terjun pula melaksanakan kursus asas payung terjun, ketua penerjunan, terjun bebas, peningkatan terjun bebas, static ramp air, penyelia terjun bebas dan penyelia payung terjun statik.
Selain itu, kursus melipat payung terjun serta pemeriksaan dan penyelenggaraan payung terjun dilakukan oleh Cawangan Rigger manakala Cawangan Amfibi melakukan kursus jurumudi, juruselam, perenang tempur, penolong ketua perenang tempur, ketua perenang tempur, penyelia menyelam dan letupan khas.
Antara perkara yang menjadi tumpuan utama kursus-kursus tersebut pada peringkat awal ialah bertanggungjawab, sukarela, ketahanan, amanah, kecergasan, kepimpinan dan kesetiaan.
Pada peringkat pertengahan pula, elemen waspada, stamina, ketabahan, pendiam, dedikasi, sistematik dan berpengetahuan pula menjadi keutamaan sementara peringkat terakhir menitikberatkan wawasan, proaktif, kebijaksanaan dan ketekunan pelatih.
Malangnya, bukan semua yang mengikuti kursus tersebut merupakan material sebenar seorang anggota pasukan khas.
Bagi pelatih GGK sahaja tahun lalu, hanya 35 daripada 250 pelatih yang menyertai kursus latihan asas berjaya memakai beret hijau komando.
Perkara ini juga menunjukkan bahawa bukan calang-calang orang dapat bergelar komando berikutan latihannya yang sangat lasak dan menguji mental serta fizikal para pelatih.
Kursus latihan asas komando itu merangkumi sesi ujian dan pembelajaran di dalam pusat latihan selama sebulan, modul ikhtiar hidup di dalam hutan selama dua minggu, di paya selama dua minggu, kursus di laut selama dua minggu selain berjalan sejauh 160 kilometer dengan menggalas beban seberat 40 kilogram.
Semasa berjalannya modul-modul ini, pelatih akan berdepan dengan pelbagai rintangan yang mencabar kemampuan dan ketahanan mental serta fizikal dirinya.
PASKAU-Pasukan Khas Laut dengan baret ungu (photo : KLSReview)
Sebagai contoh, risiko kekurangan air (dehydration), kekurangan nutrisi (malnutrition) dan lain-lain bakal menjadi musuh utama para pelatih sehinggakan ada yang terpaksa di bawa ke hospital.
Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang pelatih terpaksa diusung keluar dari tapak latihan, maka cita-citanya untuk mengenakan beret hijau tidak akan tercapai memandangkan dia tidak mempunyai material seorang komando.
Terdapat beberapa binaan di Pulpak yang bakal menguji ketahanan pelatih termasuk Tarzan Course, menara exit dan tapak abseiling.
Seorang pelatih lazimnya akan menggalas beg bebanan seberat 40 kilogram semasa melalui tujuh cabaran Tarzan Course tersebut iaitu pada halangan pertama, mereka akan meniti sebuah tali dalam keadaan berdiri pada ketinggian kira-kira 30 meter.
Brigade Para 10, pasukan payung komando dengan baret warna maroon (photo : Militaryphotos)
Selepas melepasi halangan tersebut, pelatih akan merangkak pula sementara halangan ketiga memerlukan mereka meniti laluan konkrit yang sempit serta halangan keempat merupakan titian yang mempunyai pemegang.
Halangan kelima, pelatih akan mengesot pada sebatang kayu balak besar dan seterusnya, halangan keenam serta ketujuh memperuntukkan mereka merangkak pada seutas tali nipis sahaja.
Manakala halangan yang terakhir, iaitu tarzan swing yang merupakan grand finale kepada halangan tersebut memerlukan pelatih menghayun diri mereka menggunakan tali untuk berpaut pada jaring yang berada kira-kira 15 kaki di hadapan
Lazimnya, pelatih komando akan melakukan latihan tersebut sebanyak 40 pusingan setiap hari.
VAT69, pasukan komando Polis Diraja Malaysia dengan baret coklat tanah (photo : NST)
Jelas Komandan Pulpak, Kolonel Jamaluddin Jambi, seseorang komando yang dicari pusat tersebut tidak hanya terletak kepada semangatnya semata-mata.
Tetapi katanya, seseorang komando yang mempunyai daya ketahanan dan keupayaan menjalankan operasi dengan cemerlang, datang daripada kalangan mereka yang mempunyai kelebihan daripada segi mental dan fizikal.
"Bukan calang-calang orang boleh bergelar komando, mereka perlu berada pada tahap yang paling baik setiap masa. Justeru, hanya mereka yang layak sahaja akan berjaya," katanya kepada Gaya Tentera baru-baru ini.
(Utusan)
pics kedua itu bukan GGK
BalasHapusmantap....
BalasHapusMaaf sedikit pembetulan dekat caption gambar nombor 5 sepatutnya Paskal (Pasukan Khas Laut) bkn Paskau 😂
BalasHapusPaskau adalah Pasukan Khas Udara tuan blog 😅 Mungkin typo tak perasan ye?