30 Oktober 2011

TLDM Gagalkan Cubaan Lanun Rampas Kapal Tangki

30 Oktober 2011

Kapal MT Nautica Johor Bahru yang membawa muatan minyak dan gas yang cuba dirampas sekumpulan lanun di perairan Selat Singapura berhampiran Pulau Batu Putih, semalam. (photo : Utusan)

KUANTAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan sekumpulan lanun melarikan sebuah kapal tangki, MT Nautica Johor Bahru yang membawa muatan minyak dan gas bernilai kira-kira RM12 juta, malam tadi.

Kapal yang dalam pelayaran dari Melaka ke Sibu, Sarawak itu dirampas di perairan Selat Singapura berhampiran Pulau Batu Putih pada pukul 5.30 pagi kelmarin oleh sekumpulan 10 perompak berkenaan.

Panglima Wilayah Laut Satu TLDM, Laksamana Pertama Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata, berikutan itu, kesemua anak kapal dan kapal tersebut dapat diselamatkan pukul 9.10 malam di lokasi kira-kira 17 batu nautika (30.6 kilometer) dari Pulau Jemaja, Indonesia.

Helikopter Dauphin M70 02 (photo : Airplane Pictures)

“Tiada kecederaan dilaporkan bagaimanapun lanun bersenjatakan sepucuk pistol dan parang itu berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah bot laju.

“Perompak tersebut turut merampas beberapa barangan peribadi 19 krew kapal tersebut antaranya telefon bimbit, wang tunai dan komputer riba. Muatan kapal tersebut dilaporkan selamat,” katanya pada sidang akhbar di Pelabuhan Kuantan di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, insiden rompakan itu disedari oleh pihak pengurusan kapal tersebut yang gagal menghubungi kapten kapal terbabit sebelum melaporkan kepada Maritim Malaysia semalam.

“Bertindak atas maklumat tersebut, Maritim Malaysia menugaskan pesawat Dauphin M70 02 dan berjaya mengesan kedudukan kapal tersebut di lokasi kira-kira 85 batu nautika (153 kilometer) dari timur Pekan,” katanya.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar