21 April 2012

Zahid : Belum Ada Keputusan Mengenai 6x6

21 April 2012




PT Pindad menawarkan Anoa 6x6 untuk pasukan PBB Malaysia Libanon (photo : apaajanews)


'Jangan kelirukan rakyat dengan isu kereta perisai'


KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta blogger propembangkang supaya jangan mengelirukan rakyat dengan isu perolehan kereta perisai pacuan roda 6x6 dengan kereta perisai buatan Malaysia, AV8.

Beliau berkata kerajaan sedang mengkaji kesesuaian kereta perisai 6x6 untuk kegunaan tentera Malaysia yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unifil) di Lebanon manakala projek kereta perisai AV8, yang bernilai RM8 bilion, merupakan rancangan pembangunan kereta perisai buatan Malaysia untuk jangka panjang.

"Mereka harus memahami bahawa AV8 adalah Armoured Personnel Carrier (APC) yang mempunyai 12 varian untuk pelbagai kegunaan yang sesuai untuk penyediaan tentera masa depan atau program 'future soldier' di Malaysia manakala APC 6x6 adalah untuk kegunaan Unifil di Lebanon," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini hari ini.

Perjanjian itu bakal memberikan kemudahan perbincangan bagi program-program kerjasama dalam penyediaan latihan untuk jurulatih JLKN.

Ahmad Zahid diminta mengulas blog-blog pembangkang yang memetik sumber media Indonesia bahawa kerajaan memilih 32 buah kereta perisai Anoa buatan PT Pindad, Indonesia kerana harganya lebih murah daripada AV8.    Beliau berkata kerajaan menilai beberapa kereta perisai 6x6 dari luar negara termasuk Anoa dari Indonesia tetapi belum membuat keputusan mengenainya.

Ahmad Zahid menjelaskan keperluan kereta perisai 6x6 untuk askar Malaysia di Lebanon sangat mendesak kerana kereta perisai sedia ada iaitu Condor, yang digunakan sejak 1980-an sudah tidak sesuai.

Beliau berkata pembangunan kereta perisai canggih AV8 pula mungkin mengambil masa panjang iaitu mungkin 15 tahun.

"Prototaip dijangka siap pertengahan tahun depan tetapi untuk Unifil, Condor tidak sesuai kerana ia 4x4. Kita perlukan 6x6, oleh itu kajian spesifikasi dibuat termasuk menentukan kemampuannya bergerak di Lebanon," katanya.- 


(Sinar Harian/Bernama)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar