20 April 2012

Kontrak RM4.76 Bilion Dimeterai

20 April 2012

Amunisi buatan SME Ordnance (photo : Utusan)

KUALA LUMPUR - Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2012 hari ini menyaksikan majlis menandatangani kontrak perolehan bekalan senjata dan kelengkapan serta memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM4.76 bilion.

Sebanyak 15 kontrak dan MoU ditandatangani melibatkan pihak Kementerian Pertahanan dan syarikat-syarikat industri pertahanan dari luar negara dan tempatan.


Majlis disaksikan Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad.


Daripada RM4.76 bilion itu, sebanyak RM357.2 juta kontrak kementerian diserahkan kepada lima syarikat tempatan dan satu syarikat Rusia.


Ia melibatkan pembekalan peluru untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada SME Ordnance Sdn. Bhd. bernilai RM235.3 juta dan pembekalan grenad 40 milimeter (mm) anti kereta kebal untuk tentera darat kepada Destini Prima Sdn. Bhd. bernilai RM7.9 juta.


Syarikat Teguh Hiasan Sdn. Bhd. turut menerima kontrak bagi membekal peluru roket anti struktur untuk tentera darat bernilai RM5.2 juta, Santun Jendela Sdn. Bhd. menerima kontrak pembekalan grenad pelepas asap 81mm untuk tentera darat bernilai RM2.3 juta dan perolehan pesawat tanpa pemandu ScanEagle kepada Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. dan Insitu Pacific Pty. Ltd. bernilai RM10 juta.


Syarikat pertahanan Rusia, Rosoboronexport menerima kontrak Kementerian Pertahanan bernilai RM106.4 juta bagi membekalkan dan menghantar 35 misil jenis serangan udara ke udara untuk kegunaan Sukhoi SU-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).


Untuk MoU antara syarikat dan syarikat, Masterplan Consulting Sdn. Bhd. dan Association of Italian Companies on Aerospace, Defence and Security (AIAD) memeterai perjanjian persefahaman untuk kerjasama dalam sistem integrasi, teknologi pembuatan komposit, kotak gera dan enjin, bandar pintar, teknologi medan peperangan, perkapalan dan aeroangkasa bernilai RM4 bilion.


Masterplan Consulting dan Huawei Technologies (M) Sdn. Bhd. menandatangani persefahaman untuk kerjasama perkongsian membangunkan sistem pengawasan dan infrastruktur telekomunikasi bernilai RM200 juta.


Masterplan Consulting dan ZKZ Technologies Sdn. Bhd. dan McAfee (M) Sdn. Bhd. menandatangani persefahaman untuk kerjasama dalam sistem keselamatan rangkaian bernilai RM60 juta.


Masterplan Consulting dan Stratsec.Net Sdn. Bhd. menandatangani MoU untuk perkhidmatan perundingan keselamatan siber bernilai RM30 juta dan Masterplan Consulting dengan Caibros International Sdn. Bhd. dan China Green Pte. Ltd. menjalin kerjasama membangunkan Taman Teknologi yang bersih dan mesra alam bernilai RM20 juta.


Metamorphise Resources Sdn. Bhd. memeterai MoU dengan Tactical Parachute Delivery System Inc. bernilai RM100 juta. Metamorphise Resources dilantik sebagai pengedar membekal payung terjun dan peralatannya kepada kerajaan Malaysia.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar