22 Juni 2011
KD Perantau (photo : Secure Malaysia)
TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) bukan sekadar menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara tetapi turut terlibat dengan tugas-tugas berkaitan hidrografi seperti mengukur kedalaman, bentuk dan morfologi laut, arah aliran ombak serta maklumat pasang surut air laut.
Tugas-tugas tersebut dipertanggungjawabkan kepada agensi di bawah TLDM iaitu Pusat Hidrografi Nasional (PHN).
Ketua Pengarah PHN, Datuk Zaaim Hasan berkata, peranan PHN tidak kurang pentingnya berbanding tugas anggota TLDM yang lain.
Malah katanya, tanggungjawab mereka lebih rumit kerana perlu teliti dengan setiap pengukuran yang dilakukan supaya tidak berlaku kesilapan yang boleh menyebabkan operasi pelayaran atau pemantauan di kawasan perairan negara terjejas.
“Setiap pengukuran perlu tepat. Kedalaman, bentuk lautan, kelajuan ombak, jadual pasang surut air laut, kesemuanya itu perlu diukur dengan teliti sebelum diterjemahkan dalam bentuk peta atau carta yang diguna pakai TLDM semasa pelayaran.
“Proses pengukuran meliputi keseluruhan kawasan perairan negara. Bayangkanlah keluasan laut yang perlu diukur dan kami tidak boleh melakukan kesilapan kerana khuatir boleh menyebabkan berlakunya kemalangan antara kapal yang melalui perairan negara.
“Proses pengukuran juga dijalankan secara berterusan. Kami tidak boleh kekal dengan ukuran yang sama bagi tempoh empat atau lima tahun kerana bentuk atau struktur muka bumi di dasar lautan sering berubah terutamanya apabila berlaku bencana seperti tsunami,” katanya ketika ditemui semasa sesi lawatan media ke PHN di Pulau Indah, Pelabuhan Klang baru-baru ini.
KD Mutiara 255 (photo : PBase)
Menurut Zaaim, penubuhan dan peranan PHN juga adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk membangunkan sebuah Pusat Maklumat Infrastruktur Geospartial Marin (GIDC) di negara ini.
Beliau yakin hasrat untuk membangunkan pusat maklumat tersebut akan dapat direalisasikan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
Beliau yakin hasrat untuk membangunkan pusat maklumat tersebut akan dapat direalisasikan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
“Kami optimis dengan pembangunan GIDC. Ia akan menjadi pusat pengumpulan serta penyimpanan maklumat marin terbesar di negara ini dan akan memudahkan penyaluran sebarang informasi kepada TLDM sekiranya diperlukan," jelasnya.
PHN juga katanya, ketika ini bercadang untuk menambah jumlah aset yang mereka miliki bagi memudah serta mempercepatkan tugasan mereka.
Katanya, setakat ini agensi itu mempunyai dua buah bot pengumpul hidrografi iaitu Kapal Diraja (KD) Mutiara dan KD Perantau.
“Tugas mengukur dan merekodkan struktur perairan negara mengambil masa yang agak lama. Berdasarkan jumlah aset yang dimiliki ketika ini, belum tentu kami mampu menyiapkan ukuran struktur perairan negara menjelang 2020.
“Jadi kami bercadang untuk menambah jumlah aset yang dimiliki supaya tugas-tugas pengukuran dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar