25 Februari 2010

Tentera Darat Malaysia Akan Wujudkan Unit Helikopter Tempur

25 Februari 2010


ATLAS AVIATION Afrika Selatan dan Malaysia pada tahun 1995 membahas opsi ko-produksi untuk 12-24 helikopter CSH-2 Rooivalk, untuk memenuhi kebutuhan helikopter serang angkatan darat Malaysia (photo : Military Today)

KUALA LUMPUR -- Tentera Darat akan memperkukuhkan lagi ketumbukan pasukan itu dengan mewujudkan Unit Helikopter Tempur sebagai memperlengkapkan sayap pertahanannya.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin berkata Selasa, permohonan telah dibuat di peringkat tertinggi Kementerian Pertahanan tetapi keputusan pembelian helikopter tempur itu bergantung kepada peruntukan kerajaan.

"Tentera Darat telah membuat permohonan untuk mendapatkan aset itu dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), namun tertakluk kepada kemampuan kerajaan untuk memperolehi aset berkenaan," katanya ketika sesi wawancara khas bersama media sempena ulangtahun ke-77 Tentera Darat di Kementerian Pertahanan di sini, Selasa.

Beliau bagaimanapun menyatakan jenis dan jumlah pesawat tempur itu belum diputuskan kerana masih di peringkat perbincangan.

AW-109 yang sudah dimiliki Angkatan Darat Malaysia (photo : Militaryphotos)

Sempena ulangtahun itu yang bakal disambut pada 1 Mac ini, yang bertemakan "Tentera Darat Mendokong Aspirasi Rakyat dan Kedaulatan Negara", satu perbarisan akan diadakan di Kem Sungai Besi di sini.

Tentera Darat akan mengadakan pertunjukan udara dengan menampilkan tetamu khas Leftenan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim sebagai pembantu juruterbang pada hari itu.

Muhammad Ismail berkata pihaknya turut berpuas hati dan menghargai liputan serta kerjasama baik media mengenai kejayaan Tentera Darat.

Mengulas mengenai pemilihan semula Malaysia untuk mengetuai pasukan pemantau di Mindanao, Filipina, beliau berkata Tentera Darat akan menggalas sepenuh tanggungjawab dalam mengepalai Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao (TPA-M V) itu.

"Tentera Darat yakin boleh melaksanakan misi itu dengan jayanya. Pasukan itu dibarisi oleh pegawai dan anggota yang berpengalaman dan terlatih," katanya.

Pasukan yang akan diketuai oleh pegawai kanan ATM yang berpangkat Mejar Jeneral itu terdiri daripada 12 pegawai dan seorang anggota lain-lain pangkat dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tiga pegawai Polis Diraja Malaysia dan empat pegawai perkhidmatan awam.

(Bernama)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar