16 Juli 2011

OSTEX 2011-Integrasikan Latihan Aset-aset TLDM di Perairan Laut China Selatan

16 Juli 2011

Armada kapal TLDM (photo : TLDM)

Kota Kinabalu, – Tentera Laut Diraja Malaysia bakal mengintegrasikan aset-aset TLDM dalam siri latihan kemahiran laut atau Operational Sea Training Excersise (OSTEX) 2011 di Perairan Laut China Selatan mulai 15 Julai hingga 21 Julai 2011. Dalam kata lain, OSTEX 2011 yang dilaksanakan dalam situasi peperangan tiga dimensi ini bukan hanya menumpukan kepada latihan peperangan, evolusi ilmu kelautan, navigasi, komunikasi bahkan lebih menitikberatkan integrasi di antara kapal, kapal selam dan pesawat udara dalam pelaksanaan operasi secara bersama.

Majlis Perasmian Pembukaan OSTEX 2011 akan disempurnakan oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Muhammad Rosland bin Omar di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah pada 15 Julai.

OSTEX 2011 melibatkan secara langsung aset TLDM yang terdiri daripada sembilan buah kapal iaitu KD LEKIU, KD LEKIR, KD SELANGOR, KD KELANTAN, KD TERENGGANU, KD PERAK, KD PAHANG, KD MAHAMIRU dan KD LEDANG, dua buah aset strategik negara, kapal selam KD TUNKU ABDUL RAHMAN dan KD TUN RAZAK, dua buah helikopter Super Lynx dan dua buah helikopter Fennec serta Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Tim Penyelam. Selain daripada aset-aset TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal menyumbang dalam pelaksanaan latihan gabungan TLDM ini dengan menugaskan pesawat pejuang SU-30 MKM dan F-18D serta pesawat rondaan maritim B200T.

Pesawat patroli maritim Beechcraft B200T (photo : Andy Graf)

Sebagai langkah penjimatan, OSTEX 2011 sekali lagi menggabungkan tiga siri latihan yang kelazimannya dilaksanakan secara berasingan bagi tiga Markas operasi dalam TLDM iaitu Markas Armada di Pangkalan TLDM Lumut, Markas Wilayah Laut 1 di Kuantan dan Markas Wilayah Laut 2 di Kota Kinabalu.

Gabungan sembilan buah kapal TLDM, kapal selam negara KD TUNKU ABDUL RAHMAN dan KD TUN RAZAK serta aset udara milik TLDM dalam memperagakan kewujudan di Perairan Laut China Selatan membuktikan bahawa TLDM tidak pernah leka dan sentiasa berwaspada dalam menjaga kepentingan perairan negara selain daripada rondaan berterusan dan penempatan tim-tim keselamatan di stesen luar pantai kawasan perairan ini. Majlis Penutup OSTEX 2011 akan disempurnakan oleh Panglima Armada, Laksamana Madya Dato’ Wira Jamil bin Haji Osman di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah pada 21 Julai 2011 akan datang.

1 komentar:

  1. ALHAMDULILLAH..MANTAP..!!! TERUSKAN BERJUANG DEMI AGAMA, BANGSA & NEGARA..ALLAHUAKHBAR..!! Sentiasa bersedia mnghadapi ancaman MUSUH Negara..!! TANAH TUMPAH DARAHKU..!!

    BalasHapus