KD Perantau (photo : Militaryphotos)
Salah satu tugas anggota PHN adalah mengkaji dan meneliti
peta hidrogafi negara.
SEJARAH pengukuran hidrografi di perairan Malaysia
bermula sejak kurun ke-18 oleh Tentera Laut Diraja British (TLDB).
Pengunduran British dari Tanah Melayu telah memberi ruang
kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mewujudkan perkhidmatan
hidrografinya sendiri tanpa bantuan daripada TLDB.
Pada awal 1965, kumpulan pertama pegawai dan anggota
hidrografi TLDM telah dihantar menjalani latihan di Australia .
Penubuhan Cawangan Hidrografi dalam TLDM direalisasikan pada
1969 dan kapal penyapu periuk api yang telah diubah suai merupakan aset pertama
digunakan sebagai alat pengukuran hidrografi.
Pada 31 Oktober 1972, TLDM dilantik sebagai agensi yang
bertanggungjawab melaksanakan pengukuran hidrografi di Malaysia oleh
Kabinet.
Sejak itu, pembangunan dan peranan yang dimainkan oleh
Cawangan Hidrografi TLDM terus berkembang selaras dengan penglibatan negara
dalam Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa (IHO) pada 1975.
Melalui penglibatan tersebut, secara tidak langsung Ketua
Pengarah Hidrografi merupakan wakil rasmi kerajaan Malaysia
ke persidangan IHO yang diadakan setiap lima
tahun.
Dari segi aset pengukuran, kapal hidrografi pertama iaitu
Kapal Diraja (KD) Mutiara telah diperoleh pada 1977 bagi meningkatkan keupayaan
pengukuran hidrografi TLDM sekali gus membolehkan penerbitan carta nautika yang
pertama dibuat pada 1984.
Ia diikuti perolehan kapal hidrografi kedua iaitu KD
Perantau pada 1998 yang dilengkapi sistem pengukuran terkini dan tercanggih di
rantau Asia Tenggara ketika itu.
Dalam pada itu, proses penerbitan Carta Pandu Arah
Elektronik (ENC) telah mula diterbitkan pada 2000 dan sehingga kini, 103 sel
ENC telah diterbitkan untuk pasaran antarabangsa atau kegunaan domestik.
Penubuhan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) secara dasarnya
telah dicadangkan di bawah program Pembangunan Istimewa Angkatan Tetap
(Perista) sejak 1979.
Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu pembangunan PHN
hanya dapat dilaksanakan pada 2002 dan siap sepenuhnya pada 2005.
Pembangunan PHN dilaksanakan secara berperingkat-peringkat
melibatkan kawasan paya bakau yang ditebus guna seluas 50 hektar di Pulau
Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.
Sehingga kini, pembangunan hanya melibatkan fasa pertama
merangkumi pembinaan Bangunan Pentadbiran, Bangunan Cetak, Blok Kediaman
Bujang, Bangunan Kartografi dan Oseanografi, Bangunan KD Sri Klang (KDSK), Jeti
dan Gedung Senjata yang disiapkan pada 15 Oktober 2005.
Hari Hidrografi Sedunia
Sambutan Hari Hidrografi Sedunia telah ditetapkan pada 21
Jun setiap tahun sejak 2005. Tarikh itu dipilih bagi memperingati hari
penubuhan Biro Hidrografi Antarabangsa (IHB) pada 1921 di Perancis. Biro
berkenaan ketika itu hanya disertai oleh 19 negara.
Pada 1970, IHO telah ditubuhkan bagi menggantikan IHB.
Bagaimanapun, IHB masih dikekalkan sehingga kini sebagai badan yang menguruskan
pentadbiran IHO. Bagi mengiktiraf peranan yang telah dimainkan oleh IHB, IHO
dan komuniti hidrografi antarabangsa, pengisytiharan tarikh sambutan Hari
Hidrografi Sedunia telah dibuat secara rasmi melalui satu resolusi oleh
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 29 Jun 2005.
Tema sambutan hari hidrografi sedunia pada tahun ini adalah
Kerjasama Hidrografi Antarabangsa Pemangkin Keselamatan Pelayaran'.
Kepakaran Bidang Hidrografi
Tugas asal perkhidmatan hidrografi TLDM adalah melaksanakan
pengukuran hidrografi dan penghasilan produk nautika untuk kegunaan pelayaran
di perairan negara.
Produk yang dihasilkan lebih mengutamakan keperluan
pertahanan dan keselamatan pelayaran.
Namun, peranan tersebut telah meningkat merangkumi pelbagai
cabang bidang hidrografi seperti oseanografi, kartografi dan meteorologi
selaras dengan perkembangan industri maritim dan pertahanan negara.
Sumbangan
Sumbangan warga hidrografi TLDM terhadap industri maritim
negara begitu sinonim dengan kewujudan PHN sendiri sebagai sebuah agensi yang
layak dan bertanggungjawab untuk melaksanakan pengukuran hidrografi di Malaysia .
IHO mendefinisikan hidrografi sebagai satu cabang sains
gunaan yang berkaitan dengan pengukuran dan penerangan ciri-ciri fizikal
lautan, laut, kawasan persisiran pantai, tasik dan sungai serta ramalan
perubahan ke atas elemen tersebut mengikut peredaran masa.
Ia bagi tujuan keselamatan pelayaran dan menyokong
aktiviti-aktiviti marin lain termasuk pembangunan ekonomi, keselamatan dan
pertahanan, penyelidikan saintifik serta perlindungan alam sekitar.
Definisi tersebut cukup menggambarkan kepentingan dan
sumbangan bidang hidrografi kepada sesebuah negara.
Ia tidak terhad kepada anggota hidrografi TLDM, tetapi turut
melibatkan individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam
bidang itu di negara ini.
Sebahagian besar sumber ekonomi negara datangnya dari laut
melalui industri perikanan, perkapalan, cari gali minyak. Laut juga merupakan
laluan masuk serta keluar komoditi utama negara.
Bagi membolehkan kesemua aktiviti berkenaan berjalan dengan
lancar, carta pandu arah diperlukan sebagai rujukan bagi menentukan kedudukan
sesuatu kawasan atau platform (kapal, pelantar minyak dan sebagainya) di laut.
Carta pandu arah ini membolehkan keseluruhan perairan negara
diterokai untuk eksplorasi dan eksploitasi sumber asli yang terdapat di
dasarnya. Menggunakan carta pandu arah juga, sesebuah kapal dapat belayar
dengan selamat.
Secara ringkasnya, sumbangan warga hidrografi TLDM kepada
industri maritim negara lebih kepada memastikan keselamatan pelayaran di
perairan negara melalui penerbitan produk nautika.
Sumbangan yang diberikan turut melibatkan isu-isu teknikal
persempadanan zon maritim negara, kajian saintifik marin, kajian hidraulik,
pembangunan pesisir pantai, pelancongan dan sebagainya
Secara umumnya, TLDM mempunyai dua platform yang boleh
melaksanakan pengukuran hidrografi di laut iaitu kapal hidrografi KD Mutiara
dan KD Perantau.
KD Mutiara mula beroperasi dalam perkhidmatan TLDM pada
1977. Selain dilengkapi sistem pengukuran hidrografi, ia juga dilengkapi empat
bot ukur dan dua bot kerja untuk pengukuran di kawasan cetek.
KD Perantau yang mula beroperasi pada 1998 telah direka dan
dilengkapi khusus untuk operasi pengukuran hidrografi serta melaksanakan
pemerhatian meteorologi dan cerapan oseanografi.
Ia turut dilengkapi sistem pengukuran terkini untuk navigasi
dan hidrografi seperti Navigation and Command System (NACOS) dan Digital Survey
and Mapping System 'HYDROMAP'.
Peralatan lain termasuk Sistem Perbezaaan Pemposisian
Sejagat (DGPS), Pemerum Gema Berbilang Sisi, Hull Mounted Acoustic Current
Profiller (ADCP) dan kelengkapan lain untuk operasi oseanografi serta
meteorologi. Kapal itu juga dilengkapi dua buah bot ukur iaitu Bot Ukur Utarid
dan Pluto. Kedua-dua kapal berkenaan berpangkalan di Pangkalan TLDM Lumut.
(Utusan)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar