03 Mei 2014

Sembilan Bot Pemintas Bagi Keselamatan di Esszone

03 Mei 2014

Boat Petir class buatan Dalac Marine Engineering & Services, Johor (all photos : Dalac) 

KOTA KINABALU  - Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menambah sembilan lagi bot pemintas yang dinamakan Bot Petir dalam memastikan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) terjamin.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, Bot Petir itu akan menjalani latihan pandu uji oleh pegawai dan anggota Maritim Malaysia bagi memastikan kesemuanya bersedia untuk digunakan.

“Kita percaya dengan peralatan dan teknologi canggih yang terdapat pada bot ini mampu memintas sebarang ancaman pencerobohan dengan kadar kelajuan 65 knot.


Selain itu, bot ini boleh melakukan rondaan dalam tempoh tiga hingga empat jam dengan jarak 74.08 kilometer (40 batu nautika) bagi sekali rondaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada salah seorang kakitangan Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan, Laskar Kanan Hasan Muhammad Yunus yang rumahnya di Sikuati, Kudat dekat sini pada 19 April lalu musnah dalam kebakaran.

Yang turut hadir, Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Wan Affendi Wan Ahmad.


Dalam pada itu, Ahmad Puzi berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk membina Pangkalan Udara Maritim Malaysia di negeri itu iaitu di Kota Kinabalu dan Sandakan.

Katanya, dua pesawat dan enam helikopter jenis AW139 bakal ditempatkan di pangkalan udara itu yang bertujuan memantapkan operasi agensi berkenaan.

“Namun, kita belum memutuskan pembinaan ini termasuk lokasi tepat bagi kedua-dua daerah itu. Sebelum penghujung tahun ini, kita juga akan menambah jumlah kekuatan pegawai dan anggota di negeri ini kepada lebih 1,000 orang berbanding kira-kira 800 orang pada masa ini," katanya.

(Utusan)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar