24 Desember 2014

Penembakan Mine Disposal Charge (MDC) oleh KD Ledang

24 Desember 2014


Mine Disposal Vehicle OLISTER (MDV OLISTER) milik TLDM merupakan sebuah MDV yang mempunyai ciri-ciri yang efektif untuk pemusnahan periuk api. Ia mampu untuk melaksanakan kerja-kerja pemburuan dan pemusnahan periuk api tanpa mengakibatkan risiko kemalangan jiwa. (all photos : Navy the Best)

KD LEDANG telah mengikuti Perang Pangkor 10/14 yang turut disaksikan oleh Yang Berbahagia Panglima Armada, Laksdya Dato’ Mohamad Roslan bin Mohamad Ramli selaku Pegawai Menjadual Eksesais (PME). Sebanyak enam buah kapal turut terlibat dalam Perang Pangkor kali ini, iaitu KD KASTURI, KD LEKIU, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH, KD MAHAMIRU, KD KINABALU dan KD LEDANG.


Gambar dalam Combat Information Centre (CIC) KD Ledang sebelum penembakan dilaksanakan.



Latihan kali ini lebih tertumpu kepada penembakan Mine Disposal Charge (MDC) yang dilaksanakan oleh KD LEDANG. Penembakan MDC dilaksanakan di 3.5 batu nautika barat Tanjung Hantu, iaitu di sekitar perairan Pulau Pangkor. Ini merupakan penembakan kali ke-2 dilakukan oleh KD LEDANG setelah kejayaan dalam penembakan yang pertama semasa Eksesais Bersama Lima 2014 baru-baru ini.



Penembakan mengambil masa selama 20 minit mengambil kira persiapan dan langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi untuk mengelakkan sebarang kecelakaan dan kemalangan berlaku sepanjang penembakan dilakukan. Mengambil petikan taklimat daripada Pegawai Memerintah KD LEDANG, Leftenan Komander Ismail bin Karsin TLDM, 



“Penembakan MDC ini merupakan nadi bagi Skuadron Penangkis Periuk Api ke-26 (SPP ke-26), gagalnya penembakan ini maka hilanglah denyutan nadi SPP ke-26 dalam melaksanakan tugas teras. Dengan itu, saya memerlukan kerjasama daripada semua pihak agar memperoleh kejayaan dalam penembakan yang julung-julung kali dilaksanakan”.



Dengan harapan dan kepimpinan yang tinggi daripada Pegawai Memerintah, warga kapal bertungkus-lumus bekerjasama dalam menjayakan penembakan. Sebagai rekod, penembakan MDC terakhir yang pernah dilakukan adalah pada tahun 2010 oleh KD MAHAMIRU semasa Eksesais Bersama Lima di Perairan Pulau Bintan. Warga kapal juga telah mengambil pendekatan dengan melakukan System Operational Check (SOC) sebagai persediaan melaksanakan penembakan ini. Penembakan MDC dilakukan dengan menggunakan Mine Disposal Vehicle OLISTER (MDV OLISTER), yang membawa bahan letupan ke lokasi periuk api latihan untuk dimusnahkan.



Seterusnya pembalingan Scare Charge oleh Penyelam Kapal dilakukan untuk memberi rangsangan kepada bahan letupan tersebut. OLISTER merupakan sebuah MDV yang mempunyai ciri-ciri yang efektif untuk pemusnahan periuk api. Ia mampu untuk melaksanakan kerja-kerja pemburuan dan pemusnahan periuk api tanpa mengakibatkan risiko kemalangan jiwa. Oleh kerana ianya peralatan yang berkos tinggi, warga kapal bertungkus-lumus untuk mengekalkan kesiagaan MDV ini pada tahap tertinggi.



Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi, kerana dengan keizinan-Nya, KD LEDANG berjaya melakukan penembakan MDC dan telah memusnahkan periuk api latihan pada jam 1448H DIS 14 dengan jayanya.

(Navy The Best)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar