29 Maret 2016

ATM Sukses Uji Peluru Berpandu Starstreak

29 Maret 2016


HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN (dua dari kanan) melihat senjata Starstreak dalam Majlis Latihan Tembakan Sistem Pertahanan Udara Starstreak di LSBU Tanjung Logok, Kota Tinggi, Johor, semalam. (photo : Utusan)

Starstreak mantapkan pertahanan negara

KOTA TINGGI  - Pertahanan ruang udara negara terus diperkukuhkan dengan sistem peluru berpandu jarak dekat (VSHORAD) tercanggih, Starstreak yang dilancarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lapang Sasar Bumi Ke Udara (LSBU) di Tanjung Logok di sini hari ini.

Latihan tembakan misil Starstreak bagi menggantikan Starburst dan yang pertama kali dilancarkan itu bertujuan menguji keberkesanan serta kesiapsiagaan sistem persenjataan tersebut.

Pelancarannya disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata, sistem Starstreak merupakan inventori baharu ATM dan merupakan sistem pertahanan udara yang berkelajuan tinggi serta mampu memberikan keupayaan kuasa tembakan jitu dengan tahap kelajuan hampir 1,000 meter/saat.

Menurutnya, Starstreak ialah sistem pertahanan dari permukaan ke udara yang merupakan satu elemen penting dalam sesebuah angkatan bersenjata dan bakal diguna pakai oleh ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM sebelum ditempatkan di lokasi strategik seluruh negara.

“Perolehan sistem ini amat pen­ting kerana ketika ini ATM hanya mempunyai GBAD-VSHORAD milik Tentera Darat dan hanya boleh memberi perlindungan dan pertahanan udara ke atas aset kritikal statik, namun dengan Starstreak ia membolehkan kita meneruskan peranan sebagai angkatan kredibel di rantau ini.


“Sistem tersebut juga bertujuan melindungi sasaran penting dan kawasan berkepentingan selain memenuhi keperluan pertahanan udara negara dan pada masa sama keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas acara tembakan misil Starstreak.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Johari Baharum; Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Raja Moha­med Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Laut, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Roslan Saad.

Hishammuddin berkata, pe­rolehan sistem itu juga membuka ruang kepada kerajaan bagi menyokong serta memperkukuhkan lagi kemajuan industri pertahanan negara kerana pendedahan kepada peralatan khusus digunakan syarikat pembekal, Thales Holding PLC, United Kingdom (Thales UK).

Tambahnya, menerusi kerjasama itu, syarikat berkenaan turut memberi pendedahan kepada pegawai-pegawai Science and Techno­logy Research Institute for Defence (STRIDE) dengan program perpindahan teknologi tinggi dari negara luar kepada rakyat tempatan.

Katanya, syarikat industri pertahanan, Global Komited Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Weststar Group telah dipertanggungjawabkan untuk membekal aset pertahanan Starstreak kepada ATM menerusi perolehan kontrak ditandatangai bersama Thales UK pada bulan Ogos 2015.

“Perolehan sistem misil Starstreak dan demonstrasi kuasa tembakannya hari ini merupakan salah satu inisiatif yang dirancang di bawah teras kesiapsiagaan yang digariskan sebagai satu daripada lima teras yang menjadi hala tuju dan fokus Kementerian Pertahanan tahun ini,” katanya.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar