26 Oktober 2016
Penyelesaian pertahanan siber ATM sudah mencapai 90% (photo : orangmuda)
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan memandang ke hadapan dalam pelaksanaan langkah proaktif penubuhan Unit Khas Pertahanan Siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak tahun lalu yang kini menjangkau tahap perkembangan lebih 90 peratus.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, inisiatif yang dibangunkan untuk melindungi serta mencegah sistem pertahanan negara daripada diserang atau diceroboh itu diyakini berada pada tahap memberangsangkan.
“Kita telah merancang selama tiga tahun dan ia sangat khusus, tidak murah selain tidak banyak kuasa di luar sana yang mempunyai keupayaan atau bersedia untuk berkongsi dengan kita kecuali mereka percaya dan yakin bahawa Malaysia berhaluan strategik.
“Jika inisiatif ini berjalan lancar seperti dirancang, saya boleh katakan Malaysia akan menjadi salah satu negara utama di rantau ini dalam memacu aspek pertahanan siber tetapi butirannya tidak akan saya umumkan atas sebab sekuriti dan sensitiviti teknologi yang kita usahakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan perhimpunan bulanan dan Hari Inovasi peringkat Kementerian Pertahanan 2016 di Wisma Perwira di sini hari ini.
Menurut Hishammuddin, dalam usaha memerangi ancaman kumpulan militan Daesh, pihaknya akan mengadakan pertemuan dalam tempoh beberapa minggu lagi dan menjalin kerjasama rapat dengan pemimpin Arab Saudi iaitu Timbalan Putera Mahkota Mohammad Salman dan Menteri Dalam Negerinya, Putera Mahkota Mohammad Naef.
“Banyak perkara yang perlu diteliti dalam menghadapi Daesh dan IS, ini termasuk ancaman siber tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana kita membidas ideologi mereka maka Malaysia akan bekerjasama dengan Arab Saudi dalam menangani ekstremis, militan dan Islamofobia di seluruh dunia,” katanya.
Pesawat MRCA
Sementara itu, menjawab kemungkinan pembelian pesawat tempur pelbagai guna (MRCA), katanya, kementerian perlu melihat dari tiga aspek iaitu teknikal, kemampuan serta tawaran dalam konteks offset untuk dipertimbangkan.
“Dari segi teknikal, pihak kepakaran kita akan membuat penilaian untuk melihat kesesuaian pesawat berkenaan tetapi kita juga perlu lihat kemampuan dari sudut ekonomi dan rundingan daripada negara terlibat dari segi apa yang ditawarkan dalam konteks offset untuk membantu industri pertahanan,” ujarnya.
(Utusan)
26 Oktober 2016
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar