08 Oktober 2016

ATM Utamakan Bajet untuk Pembangunan Network Centric Operations

08 Oktober 2016

Network Centric Operations Angkatan Tentera Malaysia (image : MMP)

ATM optimum perbelanjaan, utamakan NCO

KUALA LUMPUR  - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi penekanan dalam aspek pembangunan keupayaan strategik termasuk pembangunan Network Centric Operations (NCO) meliputi ruang angkasa dan siber dalam bajet 2017 yang dijangka dibentangkan bulan Oktober.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, usaha tersebut merupakan salah satu inisiatif bagi mengoptimumkan perbelanjaan dalam usaha mengatasi ancaman pelbagai aspek serta meningkatkan kesiapsiagaan ATM.

Menurut beliau, selain itu, ATM turut memberi penekanan dalam dua aspek lain iaitu kesiap­siagaan angkatan dan kualiti hidup semua anggota bagi memberi keseimbangan dalam kese­luruhan aspek pembangunan strategik ATM.

Mobile X-band terminals fitted on Land Cruiser Prados. This will allow X-band while on the move and pause (photo : Malaysian Defence)

“Kita juga percaya sekiranya ATM tidak membangunkan ke­upa­yaan mengawal ruang angkasa dan siber, kita akan ketinggalan lebih-lebih lagi ruang tersebut penting untuk memerintah dan mengawal angkatan sedia ada.

“Ketiga-tiga aspek penting ini perlu ada untuk memperteguhkan lagi fungsi ATM sebagai salah satu pasukan yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan negara,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Perbarisan Hari ATM Ke-83 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Tentera Darat, Jene­ral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Udara, Je­ne­ral Tan Sri Roslan Saad dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan.

Majlis perbarisan tersebut yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Leftenan Kolonel Samsuri Noordin melibatkan 73 pegawai dan 723 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari ketiga-tiga perkhidmatan.

Man-packable and flyaway X-band terminals (photo : Malaysian Defence)

Dalam pada itu, Zulkifeli berkata, pihaknya akan menggunakan perbelanjaan secara berhemah bergantung kepada peruntukkan kewangan negara.

“Kita tahu kerajaan hendak kurangkan defisit perbelanjaan dan perlu memberi penekanan kepada aspek yang lebih penting dalam bidang kesihatan, pembangunan luar bandar dan kesihatan.

“Oleh itu, kita akan menggunakan peruntukan kewangan ber­kenaan sebagai penentu keupayaan yang ingin dibina mengikut keuta­ma­an,” ujarnya.

(Utusan)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar