18 Juni 2014

Saab Menawarkan Erieye AEW&C Kepada Malaysia

18 Juni 2014


Tiga pesawat Erieye cukup untuk mengontrol seluruh ruang udara Malaysia (photo : SaabGroup)

Teknologi kawal ruang udara

MELINDUNGI ruang udara sesebuah negara daripada dicerobohi merupakan tugas yang cukup kritikal dan mencabar yang memerlukan sokongan perlatan terkini yang mampu menghadapi apa juga cabaran yang bakal muncul.

Sokongan teknologi yang sesuai dengan keperluan sesebuah negara cukup penting dalam usaha mengekalkan kedaulatan ruang udara agar tidak dicerobohi sewenang-wenangnya.

Antara yang mempunyai kepakaran dalam teknologi mempertahan dan melindungi ruang udara daripada dicerobohi musuh ialah syarikat yang berpangkalan di Sweden, iaitu Saab.

Menurut Pengarah Urusan Saab International Malaysia Sdn. Bhd., Thomas Linden, mereka memiliki sejarah panjang dalam membekalkan sistem-sistem yang berprestasi tinggi dan kos efisien kepada Angkatan Tentera Malaysia.

“Ini termasuklah sistem radar tentara darat dan laut, sistem perlindungan udara untuk jet-jet pejuang, sistem arahan dan kawalan kapal, serta senjata sokongan tentera.

“Saab menawarkan Malaysia dengan produk-produk, perkhidmatan dan penyelesaian yang menerajui dunia, bermula daripada pertahanan ketenteraan hinggalah keselamatan awam. Dengan operasi di setiap benua, kami terus membangunkan, mengadaptasi dan menambah baik teknologi baharu demi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah," katanya.

Saab menawarkan produk-produk, penyelesaian dan sistem yang kompetitif. Selain sokongan dan servis untuk lima segmen pasaran berbeza seperti aeronatik ketenteraan, kapal laut, darat, keselamatan awam dan aeronatik komersial.

Saab bukan sahaja penyedia teknologi-teknologi yang boleh dipercayai dan menerajui dunia. Malah selaku pembekal kepada rantau Asia Pasifik, kami turut membawakan budaya kebolehpercayaan, boleh diharap dan hubungan jangka masa panjang. Di peringkat antarabangsa, Saab dianggarkan memiliki 14,000 orang kakitangan.

Antara produk penting Saab dalam membantu mengukuhkan sistem pertahanan ialah ialah Sistem amaran awal dan kawalan udara ERIEYE (AEW&C) yang merupakan satu-satunya radar operasi udara dengan ciri Active Electronically Scanned Array (AESA) yang digunakan di dunia pada hari ini.

ERIEYE AEW&C digunakan dalam pelbagai pesawat berbeza di seluruh dunia. Ini termasuklah pesawat jet Embraer 145 dan Turboprop Saab 2000.

Ia menggunakan radar ERIEYE generasi terkini yang kini mampu mengesan sasasaran udara yang kecil, helikopter, peluru berpandu jarak jauh, serta sasaran kecil di laut seperti bot-bot nelayan dan bot getah. Sistem radar udara ini mempunyai keupayaan yang mengagumkan - peningkatannya memberikan jarak tambahan berikutan bentuk Bumi yang melengkung.

Menurut Linden, dalam kes Malaysia misalnya, dengan ERIEYE AEW&C, penggunaan tiga buah pesawat di udara sudah cukup untuk memantau seluruh ruang udara negara ini pada satu-satu masa.

Maksudnya, sistem ini memberikan Malaysia kawalan sepenuhnya bukan sahaja kepada ruang udara ketenteraan dan awam. Malah ke atas semua aktiviti di laut termasuklah perikanan, pendatang haram, pencemaran, penyeludupan, lanun serta perlindungan ke atas pelantar minyak dan gas. Rakan strategik Saab di Malaysia untuk AEW&C ialah DRB-HICOM - satu kerjasama yang akan mencipta peluang pekerjaan berteknologi tinggi, bukan sahaja sepanjang projek berlangsung, malah sepanjang kitaran hayatnya.

Malaysia, Indonesia dan Singapura telah melancarkan Program Eyes In The Sky (EiS) untuk menangani masalah lanun di Selat Melaka pada 13 September 2005.

Kata Linden, projek itu dianggap berjaya apabila negara-negara terlibat menggunakan pesawat seperti RSAF Fokker F-50, TNI-AL IPTN NC-212 dan RMAF B-200 TMP.

Penambahan sistem AEW&C pada pesawat-pesawat ini akan memberi perubahan besar kepada EiS. Ia berpotensi untuk membawa kejayaan program ini ke tahap yang lebih tinggi.

Apabila sesuatu yang luar biasa dikesan, AEW&C mampu menggerakkan pertahanan dalam bentuk berbeza untuk mengukuhkan keselamatan negara. Di udara, AEW&C boleh mengerahkan sebuah jet pejuang untuk memintas pesawat yang tidak dikenali. Di laut pula, AEW&C boleh memberi panduan kepada Pesawat Kawalan Maritim (MSA), tentera laut atau kapal Peronda Pantai untuk menyiasat apa yang sedang berlaku. Sokongan ini juga membantu merekod serta mendokumentasikan aktiviti-aktiviti haram dengan lebih terperinci menerusi gambar dan video yang boleh digunakan untuk tujuan pendakwaan.

Penjenayah tidak mampu mengelak daripada dikesan oleh AEW&C kerana mereka tidak boleh memantau sistem ini dari darat. Memandangkan AEW&C terbang tinggi, mereka yang berada di laut juga tidak boleh mengesan kehadiran AEW&C dengan pandangan mata biasa atau melalui teropong.

(Utusan)

1 komentar: