07 September 2009
KD Tunku Abdul Rahman (photo : Mer et Marine)
TLDM Cadang Tambah Kapal Selam
LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengemukakan cadangan menambah bilangan kapal selam bagi membentuk satu skuadron yang lebih mantap pada masa akan datang.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, perancangan untuk menambah bilangan kapal selam itu sedang diteliti sebelum dikemukakan kepada kerajaan.
‘‘TLDM sedar dengan kepentingan menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara daripada anasir luar.
‘‘Kita akan mencadangkan kepada kerajaan supaya menambah lagi bilangan kapal selam sedia ada bagi keperluan di masa depan,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan ketibaan KD Tunku Abdul Rahman (TAR).
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan mencemar duli menyambut ketibaan kapal selam tersebut di pangkalan operasi TLDM di sini lewat petang semalam. Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.
Abdul Aziz diminta mengulas cadangan Panglima Tentera Laut pertama, Laksamana (B) Tan Sri K. Thanabalasingam yang berpendapat TLDM memerlukan sekurang-kurangnya enam unit kapal selam bagi membentuk satu skuadron yang boleh beroperasi tanpa halangan.
Menurut Thanabalasingam, sekiranya salah sebuah daripada kapal selam negara mengalami kerosakan dan terpaksa dibaiki dalam tempoh lama, maka hanya ada sebuah lagi yang mampu beroperasi di laut.
Sementara itu, Abdul Aziz memberitahu, kapal selam kedua negara, KD Tun Razak akan memulakan pelayaran ke tanah air pada 26 Januari depan dan dijangka tiba dua bulan kemudian.
Beliau berkata, ketika ini kapal selam itu sedang menjalani fasa kedua ujian di perairan Cartagena, Sepanyol oleh Navantia, syarikat yang bertanggungjawab membuat kapal selam tersebut.
‘‘KD Tun Razak dijadual diserah secara rasmi kepada TLDM pada 25 Oktober ini dan memulakan pelayaran ke Malaysia pada 26 Januari 2010,’’ katanya.
Menurut Abdul Aziz, KD TAR akan berada di pangkalan TLDM Lumut sehingga 10 September ini sebelum belayar dan dijadual tiba di pangkalan Teluk Sepanggar pada 17 September ini.
KD TAR dikendalikan Komander Zulhelmy Ithnain bersama 35 krew, tiba di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah, Selangor, Khamis lalu selepas perjalanan selama 55 hari mulai 11 Julai dari Toulon, Perancis.
(Utusan)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar