12 Mei 2010

KD Pahang Berlatih Menghadapi Serangan Rudal

12 Mei 2010

KD Pahang milik Angkatan Laut Malaysia (photo : KLSReview)

KD Pahang 'Diserang' Misil

Brace... brace... brace..." jerit Ketua Pegawai Tempur KD Pahang sebaik menyaksikan ancaman musuh semakin menghampiri kapal berkenaan.

Serentak itu semua pegawai di dalam Pusat Kawal dan Perintah Tempur mencari perlindungan sambil menunggu hentaman misil musuh.

Selang beberapa minit, berlaku hentaman sehingga membuatkan kapal tersebut bergoyang dan menyebabkan pegawai tersebut terpelanting dari tempat masing-masing.

Keadaan kelam kabut itu bagaimanapun berlangsung tidak lama apabila Ketua Pegawai Tempur sekali lagi menjerit stand to... stand to... tanda keadaan kembali terkawal.

Ini membolehkan semua pegawai kembali ke tempat duduk masing-masing dan memberikan tumpuan pada skrin di depan sambil menanti arahan seterusnya untuk bertindak.

Difahamkan misil musuh itu berjaya dipatahkan oleh sistem penangkis misil kapal. Ini menyebabkan kesan hentaman berjaya dikurangkan sekali gus hanya menyebabkan kerosakan sedikit pada kapal.

Walaupun lega dengan kejayaan itu, semua pihak di atas kapal itu masih berjaga-jaga kerana sistem penderia kapal menunjukkan aset-aset musuh masih aktif di kawasan itu dan bila-bila masa akan melakukan serangan susulan.

Suasana tegang jelas terasa di dalam bilik yang hanya diterangi cahaya daripada paparan skrin, selain beberapa lampu malap. Semuanya tekun dengan tugas masing-masing sambil menanti arahan seterusnya.

Situasi tegang itu bagaimanapun hanya latihan yang ditunjukkan kepada wakil media Sabah ketika diberi peluang menyaksikan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertugas termasuk ketika mengendalikan situasi kritikal iaitu berperang.

Lawatan ke Kapal Ronda Generasi Baru (NGPV) KD Pahang yang diadakan sempena Hari Bersama Media itu, diketuai Ketua Pegawai Staf Operasi Markas Wilayah Laut 2, Komander Soo Lin Chai.

Pada lawatan lebih tiga jam itu, wakil media diberikan taklimat oleh orang nombor dua atas kapal tersebut Pegawai Laksana KD Pahang, Leftenan Komander Zaimi Ayub.

Terdahulu kehadiran warga media di atas kapal telah disambut Pegawai Pemerintah KD Pahang, Komander Yusman Ostadi.

Kesempatan berada di dalam Pusat Kawal dan Perintah Tempur digunakan sepenuhnya wakil media untuk memahami tugas pasukan berkenaan.

Menurut Zaimi, cahaya di dalam bilik tersebut dimalapkan bagi membolehkan semua petugas memberikan tumpuan sepenuhnya kepada setiap aktiviti yang dipaparkan pada skrin.

Menurutnya, setiap petugas perlu 'melatih mata' supaya peka pada setiap unsur-unsur yang ada dalam paparan skrin itu kerana ia merupakan isyarat yang dapat ditangkap oleh sistem penderia kapal.

"Sebagai contoh, jika ada ancaman misil ia hanya akan kelihatan seperti titik kecil pada skrin. Jadi pemerhatian teliti dan tumpuan 100 peratus perlu diberikan," katanya.

Beliau menambah, pakaian kalis api mesti dipakai pada masa krisis bagi melindungi pegawai dan anggota daripada percikan api dan elemen bahaya lain seperti asid dan sebagainya.

Sebelum mengunjungi Pusat Kawal dan Perintah Tempur, wakil media telah dibawa ke anjungan bagi melihat sendiri kerja-kerja mengemudi kapal tersebut.

Sesuai dengan keperluan sebuah platform moden dengan ciri-ciri halimunan, senyap, kurang-kesan haba dan kos operasi yang rendah, semua urusan mengendalikan kapal tersebut dilakukan menerusi sistem kawalan berpusat dan berkomputer.

Pun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, kapal tersebut boleh dikemudi dan dikendalikan secara manual.

Pemusnah Sasaran Darat

Sebagai sebuah kapal perang, sistem persenjataan sudah pasti akan diutamakan.

Bagaimanapun, jangan berasa pelik kerana kapal sepanjang 91.1 meter itu hanya dilengkapi satu unit meriam Oto Melara 76/62mm dan satu unit meriam Oto Breda 30mm sebagai senjata utama.
Kedua-dua meriam yang terletak di depan dan belakang itu dikawal sepenuhnya secara automatik dan boleh dikawal secara mekanikal sekiranya perlu. Selain berfungsi sebagai pemusnah sasaran darat, meriam itu juga boleh dikerahkan untuk memusnahkan sasaran di udara.

Malaysia berupaya melengkapi korvet Meko 100 miliknya dengan RIM-116 Rolling Airframe Missile (RAM) yaitu rudal ringan permukaan ke udara berpandu infra merah. Rudal buatan Raytheon/Diehl BGT Defence ini awalnya digunakan sebagai pertahanan titik untuk mengantisipasi serangan rudal jelajah anti kapal. Sesuai dengan namanya, rudal dapat berputar sesuai sumbu longitudinal. (photo :darkone)

Sesuai dengan jolokan kapal 'bijak' yang berkonsepkan fitted for but notwith, KD Pahang sememangnya tidak dilengkapi senjata besar seperti misil dan torpedo.

Senjata besar seperti misil permukaan ke permukaan Exocet MM40, permukaan ke udara RIM-116A atau Aspide dan torpedo A244/S itu bagaimanapun boleh dipasang pada bila-bila masa mengikut keperluan tanpa memerlukan perubahan besar pada kapal dan tidak memakan masa lama.

Secara tidak langsung ia boleh ditukarkan daripada kapal kelas ronda kepada korvet. Dengan kelajuan maksimum 21 knot yang dijanakan oleh dua enjin diesel Caterpillar 3616 (5450KW) ia pastinya menggerunkan lawan.

Selain itu KD Pahang turut dilengkapi sistem penderia mampu melaksanakan peperangan tiga dimensi membabitkan peperangan udara, permukaan dan bawah permukaan serta peperangan elektronik.

Oleh itu tidak menghairankan, dengan saiz dan keupayaan yang ada, kapal itu boleh menjalankan kerja pengawasan maritim dan kerja-kerja menyelamat ketika aman.

Pada masa konflik pula ia boleh bertindak sebagai kapal peninjau dan pengawasan, kapal pengiring dan pelindung HVU, pertahanan pangkalan dan bantuan operasi darat.

Keupayaan kapal itu juga boleh dipertingkatkan berkali-kali ganda kerana ia mempunyai dek dan hangar helikopter bagi menempatkan sebuah helikopter sama ada Super Lynx atau Fennec TLDM.

Kemuncak acara apabila wakil media diberi peluang menembak menggunakan raifal baru Angkatan Tentera Malaysia (ATM), M4 Carbine iaitu versi M16 yang dinaik taraf menggantikan Steyr yang digunakan sebelum ini.

Wakil media turut berasa bahu dihentak mesingan pelbagai guna (GPMG) apabila diberi peluang menembak menggunakan senjata berat yang boleh memuntahkan sebanyak 13 butir peluru dalam tempoh satu saat.

Ketika sedang asyik melayan tembakan GPMG itu dan matahari sudah semakin tegak di kepala, pengumuman dibuat memaklumkan bahawa kapal akan mengubah haluan sedikit masa lagi untuk kembali ke Pangkalan Kota Kinabalu di Sepanggar.

Setibanya di pangkalan, wakil media diraikan pada majlis makan tengah hari yang turut dihadiri oleh Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Pertama Datuk Anuwi Hassan dan Panglima Angkatan Selam, Laksamana Pertama Datuk Mohammad Rosland Omar.

Anuwi dalam ucapannya berpuas hati dengan sumbangan dan kerjasama warga media Sabah mempromosikan angkatan laut itu di mata dan hati penduduk tempatan.

Beliau menyuarakan rasa bangga dengan kejayaan wakil media mengikuti pelayaran tanpa ada di antara mereka terkena mabuk laut.

Secara berseloroh dia berkata, "Jika saudara-saudara berasa tidak puas dan tidak rasa tercabar dengan pelayaran ini, TLDM bersedia memberi peluang untuk berlayar lebih lama, bagi merasai cabaran sebenar dunia pelaut."

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar