19 Mei 2010

Markas ATB Tawau Dinaik Taraf ke Pangkalan Operasi Hadapan

19 Mei 2010

Tawau, Sabah (image : GoogleMaps)

TAWAU: Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 di Kem Kukusan di sini telah dinaik taraf menjadi Pangkalan Operasi Hadapan, kata Panglima Angkatan Tugas Bersama Lt Jen Datuk Allatif Mohd Noor.

“ATB 2 atau Pangkalan Operasi Hadapan memainkan peranan khususnya bagi mengendali segala hal ehwal dan bantuan yang diperlukan dalam pelaksanaan Op Pasir terutama yang melibatkan aspek operasi, logistik dan pentadbiran,” katanya kepada pemberita di sini kemarin.

Allatif juga berkata masalah mencari tapak untuk menempatkan radar pasukan berkenaan di sepanjang kawasan Pantai Timur Sabah telah berjaya diatasi. Katanya setakat ini 10 buah radar telah siap dipasang dan beroperasi dan empat lagi akan dipasang tahun ini.

Sementara itu di, Petaling Jaya, Walaupun kerajaan tidak bercadang memindahkan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi bagi membangunkannya sebagai hab komersil, TUDM bagaimanapun sedia berpindah untuk tujuan tersebut, kata panglimanya Jen Datuk Seri Rodzali Daud.

Beliau berkata dengan pemindahan itu, ia akan membolehkan TUDM mengambil peluang mendapatkan prasarana lebih baik termasuk dapat membina ibu pejabat yang lebih moden yang dapat memberi keselesaan kepada pegawai serta anggotanya.

“Pemindahan Pangkalan TUDM Sungai Besi ke Pangkalan TUDM Dengkil masih dalam perancangan. Saya tak nak uar-uarkan tapi ada perancangan daripada pihak kerajaan. Bagi pihak TUDM kita akan buat persiapan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sayap kuartermaster pesawat Nuri siri 19/09 dan pesawat angkut siri 05/09.

Sebelum ini Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan laporan sebuah akhbar tabloid bahawa Pangkalan TUDM Sungai Besi akan dibangunkan sebagai hab komersial.

Rodzali berkata jika diarah pindah, aset-aset TUDM seperti pesawat dan ibu pejabat akan dipindahkan ke Pangkalan Udara Subang, dan sekiranya pangkalan itu padat, aset berkenaan akan turut dipindahkan ke tempat lain sementara menunggu pangkalan baru siap dibina.

Pada majlis itu seramai 16 anggota TUDM, tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia dan tiga anggota bomba menerima sijil dan sayap penerbangan kuartermaster.


(New Sabah Times)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar