14 Juni 2012

Kolej Tentera Udara Lahirkan Juruterbang Berkaliber

14 Juni 2012


Pesawat Pilatus PC-7 Mk II Tentara Udara Diraja Malaysia. Kolej Tentera Udara (KTU) saat ini mengoperasikan 36 buah pesawat Pilatus PC-7dan 8 buah pesawat Pilatus PC-7 Mk II buatan Pilatus Aircraft, Swizerland sebagai pesawat latih dasar dan juga mengoperasikan 20 pesawat MD3-160 Aerotiga buatan SME Aviation Sdn. Bhd., Malaysia hasil lisensi dari MDC Max Dätwyler AG, Jerman sebagai pesawat latih mula (photo : Airliners)

Pemeriksaan rapi ke atas pesawat cukup diberi penelitian bagi mengelakkan sebarang masalah teknikal.

USAHA melahirkan juruterbang berkualiti termasuk tahan lasak dari segi fizikal dan mental, berketrampilan serta bersemangat juang tinggi bukan mudah apatah lagi dalam persekitaran yang mencabar pada hari ini.

Tidak dinafikan ramai lebih cenderung menerbangkan pesawat komersial yang menjanjikan pendapatan lebih lumayan berbanding menyarung uniform Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk berada di barisan hadapan mempertahankan negara.

Usaha melahirkan juruterbang berkaliber untuk mengawasi ruang udara Malaysia telah lama digalas Kolej Tentera Udara (KTU) sejak awal penubuhannya pada 1963.

Sehingga kini, KTU masih diberikan peranan untuk melatih dan melahirkan juruterbang yang mencukupi bagi memenuhi keperluan operasi mengikut kehendak TUDM.

Dalam usaha menjayakan misi itu, KTU di Kepala Batas yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Alor Setar dengan berkeluasan 65 hektar persegi menempatkan semua unit latihan di satu tempat yang sesuai dengan suasana latihan dan mempunyai kelengkapan serta kemudahan mencukupi.

Secara amnya, KTU adalah institusi latihan untuk melatih pegawai tentera hasil kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi graduan berkelulusan diploma.

Namun tahun ini sangat bersejarah apabila graduan di peringkat ijazah yang berkelayakan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Sungai Besi, Kuala Lumpur akan ditawarkan untuk menjalani latihan di KTU.

Program berkembar dengan universiti tempatan itu sejajar dengan usaha TUDM untuk memantapkan profesionalisme juruterbang dengan melahirkan juruterbang yang berkemahiran.

Apatah lagi dengan tahap profesionalisme bidang ketenteraan yang meningkat dan mementingkan pencapaian akademik, adalah penting untuk memastikan pasukan tentera hebat dalam bidang taktikal serta strategi ketenteraan.

Di KTU, TUDM menggariskan misi utamanya untuk mengeluarkan pegawai dan krew udara yang dipupuk dengan sikap yang positif, dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran asas bagi melaksanakan tugas serta tanggungjawab melalui penggunaan modul atau pelaksanaan kurikulum yang bersesuaian.

Sejak awal kelahirannya, KTU mengalami beberapa perubahan termasuk konsep pemusatan beberapa unit latihan seperti Pusat Latihan Pegawai (PLP), Pusat Latihan Terbang 1 (Pulatibang 1) dan Pusat Latihan Terbang 2 (Pulatibang 2) di lokasi sama sejajar dengan matlamat TUDM menjadikan KTU sebaga pusat pengajian aeroangkasa.

Setiap pelatih yang juga merupakan pegawai kadet perlu menjalani latihan selama tiga tahun di KTU bagi melayakkan mereka menerima sayap penerbangan bagi latihan Kursus Asas Penerbangan di Pulatibang 1 dan Helikopter di Pulatibang 2.

Dalam tempoh tersebut, bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan ketenteraan para pelatih terlebih dahulu menjalani latihan ketenteraan mengikut jadual ditetapkan.

Dalam fasa itu, mereka dilatih membina ketahanan mental dan didedahkan kepada pengetahuan asas ketenteraan sebagai persediaan sebelum menjalani latihan penerbangan di KTU.

Menurut Pegawai Pemerintah Pulatibang 1, Leftenan Kolonel Ghazali Yayah, KTU tidak akan berkompromi dengan kualiti dalam usaha melahirkan juruterbang yang berkaliber.

"Kita berharap dapat melahirkan juruterbang angkatan tentera yang mantap dan tinggi semangat juang di mana apabila mereka menggalas tugas di barisan hadapan pertahanan negara ia dilakukan dengan penuh patriotik dan tanpa rasa gentar.

"Oleh demikian selain penerapan ilmu penerbangan, kemahiran dalam mengoptimumkan pengunaan aset latihan dalam penerbangan, pelatih juga dididik dengan jati diri yang tinggi," katanya.

Katanya, pelatih yang diterima masuk ke KTU terlebih dahulu akan menerima latihan di PLP sebelum diserapkan untuk menjalani latihan penerbangan di Pulatibang 1 dan Pulatibang 2 selama 18 bulan.

Pesawat MD3-160 Aerotiga buatan SME Aviation Sdn. Bhd., Malaysia (photo : Janner88)

Tambah beliau, visi Pulatibang 1 di KTU antaranya untuk menjadi pusat latihan penerbangan terunggul di rantau Asia apabila mampu melahirkan juruterbang berkaliber sehingga mencapai tahap profesionalisme tinggi.

"Modul pembelajaran dan kokurikulum di Pulatibang 1 antaranya memerlukan setiap pelatih menguasai bidang akademik dan ketenteraan kerana mereka bakal menerbangkan sebuah pesawat pejuang untuk mempertahankan negara.

"Hanya pelatih yang kental dan mantap ilmunya akan melepasi fasa itu seterusnya menerima sayap penerbangan masing-masing," jelasnya.

Selain latihan ketenteraan dan pembelajaran di kelas dalam usaha memahami selok belok mengendalikan pesawat, Ghazali berkata, pelatih juga perlu mengambil kursus lanjutan membabitkan praktikal menerbangkan pesawat menggunakan Pilatus PC-7.

"Jumlah jam penerbangan yang ditetapkan adalah sekurang-kurangnya 160 jam secara solo atau bersama jurulatih.


"Penggunaan aset-aset latihan di Pulatibang penting dalam melahirkan juruterbang yang berkualiti," ujarnya.

Pada ketika ini terdapat kira-kira 100 pelatih yang menjalani latihan di Pulatibang 1 dengan 27 jurulatih yang berpengalaman.

Sementara itu Pulatibang 2 yang beroperasi di KTU sejak 1995 pula menjalankan kursus penerbangan asas helikopter dan kursus ilmu penerbangan asas bagi kuartermaster udara dan pramugari TUDM.

Menurut Pegawai Pemerintah Pulatibang 2, Leftenan Kolonel Ramli Mohd. Abd. Jabar, peranan yang dimainkan oleh juruterbang terbabit dalam pasukan TUDM tidak kurang pentingnya.

"Usaha KTU adalah untuk melahirkan juruterbang helikopter dan kuartermaster atau pramugari yang berpengetahuan serta memiliki kemahiran tinggi, berdisiplin termasuklah berakhlak terpuji.

"Pelatih juga akan menjalani latihan penerbangan selama 86 jam bagi melayakkan mereka memperoleh sayap penerbangan," katanya.

Menurut Ramli, teknologi dalam bidang penerbangan turut berubah mengikut peredaran masa, namun pelatih di KTU dilatih dengan kemahiran tinggi agar mereka mampu mengemudi apa juga pesawat yang ditugaskan setelah berkhidmat dengan TUDM kelak.

Tambah Ramli, selain melatih pegawai kadet untuk TUDM, KTU juga memberi latihan asas tersebut kepada pasukan ATM lain dan agensi kerajaan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar