10 November 2016

Eksesais Satria Perkasa Uji Keupayaan Dan Kekuatan Formasi 4 Briged

10 November 2016

Eksesais Satria Perkasa 2016 (all photos : MMP)

DUNGUN (Bernama) -- Eksesais Satria Perkasa Siri 5/2016 yang dilaksanakan oleh formasi 4 Briged (Mekanize) menjadi platform untuk pegawai dan anggota tentera menguji keupayaan operasi tempur dalam menghadapi situasi sebenar peperangan menghadapi musuh.

Panglima 4 Briged (Mekanize), Brig Jen Datuk Md Din Abu berkata eksesais yang berlangsung selama 10 hari bermula 17 Okt lepas di beberapa lokasi dari Bukit Goh, Kuantan ke Felda Jerangau, Dungun sejauh kira-kira 150 kilometer itu juga bertujuan untuk menguji keupayaan operasi elemen bantuan tempur dalam atur gerak mekanize.



"Melalui eksesais yang dijalankan ini ianya dapat melatih semua anggota dan pegawai merancang pelaksanaan gerakan melalui aset yang terdapat dalam satu unit gabungan dalam peperangan konvensional dan kebolehan pemerintah dalam perintah dan kawalan juga dapat diuji.

Eksesais seumpama ini dilaksanakan dalam usaha meningkatkan keupayaan briged yang mana anggota dan pegawai didedahkan dan diberi peluang mengoperasikan aset yang bersabit dengan perancangan, teknik dan taktik, pengurusan bantuan dan logistik serta aspek dalam menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu operasi dalam peperangan," katanya.



Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Eksesais Satria Perkasa Siri 5/2016 di sini hari ini.

Md Din berkata eksesais yang julung kali mengatur gerak menggunakan kereta perisai Gempita, Adnan, Sibmas dan Condor tersebut disertai 72 pegawai dan 1,065 anggota lain-lain pangkat daripada 12 unit dibawah naungan 4 Briged.



"Anggota dan pegawai ini terdiri daripada Markas 3 Divisyen, 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), Markas 4 Bridged (Mekanize), 11 Kor Amor Diraja, 7 Rejimen Renjer Diraja(Mekanize), 11 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja(Mekanize), dan 1 Kor Amor Diraja," katanya.

Sementara itu, bagi Prebet Mohd Syazwan Mohd Zahid, 20, daripada Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Diraja berkata eksais itu memberi pengalaman baharu buat dirinya yang baharu 14 bulan menyertai tentera.

"Ini kali pertama saya menyertai Briged ini yang mana terdiri daripada kekuatan anggota yang begitu ramai...memang suasananya agak berlainan dan memberi pengalaman baharu buat saya untuk menjalani latihan seperti pertempuran di medan sebenar.



Melalui eksesais ianya dapat menguji semangat kerjasama dan kerja berpasukan yang mana kita bersama-sama bertungkus lumus untuk memerangi pihak musuh dan di sini memang kekuatan pasukan kami diuji,"katanya.

Seorang lagi anggota, Leftenan Muda Mohd Zulkifeli Mohd Tarmizi dari Rejimen 505 Askar Wataniah berkata eksasais itu juga menguji kekuatan mental dan fizikalnya bersama anggota yang lain.



"Memang ini pengalaman baharu buat saya dan melalui eksasais ini kecekapan menggunakan senjata juga diuji dan kami juga didedahkan dengan aset ketenteraan yang sebelum ini saya tak pernah lihat seperti Gempita dan (kereta kebal) Pendekar.

Eksesais ini juga menguji kekuatan operasi serangan dan pertahanan dalam peperangan konvensional," katanya.

(Bernama)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar