04 Maret 2015
Kerja-kerja pemunggahan masuk torpedo sedang dijalankan oleh tim teknikal dan logistik MAKS TLDM serta Depot Peluru & Letupan Teluk Sepangar (all photos : TLDM)
KOTA KINABALU – Aset strategik negara kapal selam KD TUNKU ABDUL RAHMAN (KD TAR) telah berjaya melancarkan Torpedo Black Shark Konfigurasi Latihan (BS EX) di Perairan Laut China Selatan (LCS). Penembakan bagi menguji kesiagaan dan keupayaan sistem kombat dan persenjataan serta kemahiran warga kapal selam. Penembakan kali ini menggunakan sebuah kapal permukaan sebagai sasaran atau dummy target.
Torpedo Black Shark Exercie (BS EX) buatan Whitehead Alenia Sistemi Subacquei (WASS) dari Itali
Aktiviti pelancaran torpedo BS EX ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan penembakan Torpedo Black Shark Konfigurasi Perang yang telah dilaksanakan pada 31 Oktober 2014 yang lepas.
Kapal Submarine Escape & Rescue – Intervention (SMER-I) TLDM, MEGA BAKTI terlibat sebagai sasaran permukaan dan juga torpedo recovery vessel
Sebagai rekod, penembakan tersebut merupakan penembakan yang julung kalinya bagi torpedo Black Shark semenjak diperkenalkan oleh syarikat pengeluar Torpedo Whitehead Alenia Sistemi Subacquei (WASS) dari Itali.
KD TAR dalam pelayaran menuju ke posisi penembakan
Siri latihan pada kali ini memperlihatkan keupayaan dan kebolehan sebenar krew KD TAR mengendalikan Submarine Tactical Integrated Combat System (SUBTICS) dalam melaksanakan penembakan torpedo BS EX. Evolusi ini juga membolehkan analisis tertentu dilaksanakan bagi mempertingkatkan keupayaan serta taktik-taktik pepeperangan bawah permukaan laut.
KD TAR dalam pelayaran menuju ke posisi penembakan
Latihan pelancaran torpedo BS EX ini turut melibatkan aset-aset lain TLDM dan juga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset bantuan untuk keselamatan kawasan, rakaman dan analisis. Peluang latihan operasi di laut juga dioptimumkan oleh semua aset TLDM yang terlibat iaitu KD PERAK, MEGA BAKTI, bot tempur CB 90 dan Tim Penyelam TLDM manakala TUDM telah menugaskan pesawat EC 725 sebagai tim rakaman dan spotter.
KD TAR sedang menyelam ke kedalaman periskop untuk melaksanakan pelancaran torpedo BS EX
Latihan yang dinamakan Ops MARLIN 3/15 ini dikelolakan oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, YBhg Laksamana Muda Abdul Rahman bin Hj Ayob selaku Pengarah Eksesais.
KD TAR sedang menyelam ke kedalaman periskop untuk melaksanakan pelancaran torpedo BS EX
Kejayaan latihan penembakan torpedo BS EX ini turut mengesahkan keupayaan sebenar kapal selam negara, malah secara langsung telah membuktikan kesiapsiagaannya yang tinggi dalam menghadapi peperangan tiga dimensi iaitu peperangan bawah permukaan, aras permukaan dan anti-udara.
Kapal MEGA BAKTI melaksanakan torpedo recovery di posisi smoke marker
Selain itu juga, kejayaan ini diharapkan dapat menangkis tohmahan dan persepsi negatif terhadap keupayaan kapal selam negara serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khasnya TLDM dalam mempertahankan kedaulatan maritim negara.
(TLDM)
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar