26 September 2016

Sebuah Pangkalan TLDM Dicadang di Bintulu

26 September 2016


Bintulu, Serawak (image : GoogleMaps)

KUCHING  – Kementerian Pertahanan merancang membina sebuah pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu bagi melindungi keselamatan perairan serta industri minyak dan gas di Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan tersebut merupakan antara beberapa perkara yang diberikan penekanan dalam teras hala tuju kementerian merangkumi aspek keselamatan, kesiap­siagaan dan kebajikan melalui perancangan yang dibuat untuk negeri ini.

Katanya, kewujudan pangkalan TLDM di Bintulu akan memberi impak besar kepada kerajaan dan rakyat negeri ini daripada aspek keselamatan perairan di Laut China Selatan.

‘‘Kehadiran aset dan pangkalan di bawah Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) akan menjamin kepentingan strategik khas­nya pelabuhan serta industri mi­nyak dan gas di negeri ini.

‘‘TLDM telah mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi membina pangkalan ini, namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan,’’ katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pegawai Tanpa Tauliah (PTT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Udara Ku­ching di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar; Pang­lima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Shabre Hussein; Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Mohammad Foad Abdullah.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam tempoh lapan bulan penubuhan 31 Briged Sempadan, hampir 40 peratus anggotanya berjaya direkrut bagi memenuhi keperluan menjaga sempadan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.

Katanya, usaha juga sedang giat dijalankan bagi menambah bilangan anggota yang benar-benar layak untuk mengisi baki kekosongan sebanyak 1,000 penjawatan dengan memberi keuta­maan kepada penduduk tempatan.

‘‘Kita akan membina kem bagi menempatkan Markas 31 Briged Sempadan dan satu batalion Rejimen Sempadan di Bintulu pada tahun depan bagi memantau sasaran penting seperti empa­ngan hidro elektrik di Bakun, Murum dan Baleh yang berada di kawasan Tunoh, Kapit,’’ katanya.

Tambah Hishammuddin, kementerian itu turut merancang menambah lima Pos Gabungan
(POSGAB) dan 18 Pos Tentera Darat di sempadan Sarawak-Sabah dan Kalimantan kerana lapan POSGAB sedia ada di negeri ini tidak mampu menampung beban penugasan di kawasan sempadan negara.

(Utusan)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar