5 Juni 2009
KD Perak - korvet ketiga dari Meko class (photo : Militaryphotos)
LUMUT - Proses modenisasi pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) giat dijalankan bagi meningkatkan serta memantapkan lagi keupayaan angkatan laut itu dalam mengawal perairan negara.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar berkata, pembangunan TLDM dan agensi keselamatan maritim yang lain adalah penting dalam menentukan keutuhan dan integriti perairan negara terus terpelihara dan terjamin.
''Sebagai sebuah negara maritim yang hampir 80 peratus ekonominya bergantung kepada perdagangan laut, kita tidak boleh menafikan bahawa kekuatan sebenar TLDM adalah bergantung kepada bilangan dan kekuatan serangan aset-aset permukaan.
''Walaupun TLDM boleh berbangga dengan pencapaian status Blue Water Navy dengan aset-aset force multiplier seperti helikopter Super Lynx dan kehadiran kapal diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dan kapal selam Tun Razak tidak lama lagi, TLDM memerlukan kehadiran aset- aset permukaan tambahan bagi mengisi kekurangan kritikal aset-aset permukaan di semua markas Wilayah Laut TLDM,'' katanya sempena Pentauliahan Kapal Ronda Generasi Baru KD Perak di sini hari ini.
Hadir sama, Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn. Bhd., Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Ramli Mohd. Noor.
KD Perak adalah sebuah kapal ronda generasi baru yang ketiga dibina bagi menggantikan kapal peronda TLDM sedia ada selepas KD Kedah dan KD Pahang.
Kapal berkenaan dianggotai seramai 69 orang anak kapal terdiri daripada 11 orang pegawai dan 58 orang anggota diketuai oleh Pegawai Memerintah KD Perak, Komander Ismail Othman.
Upacara penamaan dan pelancaran KD Perak disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tunku Bainun pada 12 November 2007 yang lalu dan nama KD Perak dipilih bersempena dengan nama KD Sri Perak iaitu sebuah kapal peronda daripada Kelas Sri Kedah yang dibina di England pada 1961.
Penamaan KD Perak bertujuan untuk mengenang jasa dan mengiktiraf sumbangan KD Sri Perak sepanjang perkhidmatannya kepada TLDM sehingga kapal berkenaan tenggelam akibat dipukul ombak besar dan ribut semasa pelayaran operasi di perairan Laut China Selatan pada 8 Januari 1984.
KD Perak akan diletakkan di bawah perintah gerakan dan pentadbiran Panglima Wilayah Laut 1 di pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan untuk mengendalikan penugasan operasi di sekitar perairan pantai timur Malaysia.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berharap, tiga lagi kapal ronda yang diperoleh oleh kerajaan melalui syarikat perkapalan BNS Sdn. Bhd. dapat ditauliahkan secepat mungkin.
Menurutnya, kapal ronda keempat dijangka akan diterima pada Oktober 2009 manakala kapal keenam pada penghujung Julai 2009.
(Utusan Malaysia)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar