23 Oktober 2015

Global Komited Pasok 8 Kenderaan Tempur IAG Jaws

23 Oktober 2015


Kenderaan tempur 4x4 IAG Jaws (photo : Malaysian Defence)

PDRM dilengkapkan aset tempur baharu RM535.7j

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri hari ini menandatangani lapan kontrak perolehan dan sewaan berjumlah lebih RM315.9 juta dalam usaha kerajaan mempertingkatkan lagi aspek keselamatan negara.

Kontrak tersebut termasuklah pembelian dua buah helikopter moden jenis Agusta Westland AW139 serta lapan kenderaan tempur berperisai 4x4 jenis IAG Jaws untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dua surat setuju terima (LoA) penyelenggaraan pesawat 350 King Air milik PDRM bernilai RM82.7 juta dan percetakan kertas saman trafik oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) bernilai RM20.9 juta turut dipersetujui menjadikan jumlah keseluruhan perjanjian adalah RM535.7 juta.

Selain itu, satu memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat pertahanan Jerman, EMT Penzburg dengan syarikat tempatan, Drei Sohne Technologies Sdn. Bhd. (DST) bagi menghasilkan pesawat tanpa pemandu (UAV) Malaysia juga ditandatangani.

Kesemua perjanjian perolehan dan sewaan itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri sempena Persidangan dan Pameran Khas Polis Asia (GPEC) 2015.


Jaws APC dikembangkan dari platform kendaraan sipil chassis Toyota Land Cruiser 200 (photo : Army Recognition)

Dalam majlis itu, Kementerian Dalam Negeri diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Dua helikopter AW139 yang akan dioperasikan Unit Udara PDRM itu dibekalkan Galaxy Helicopters (M) Sdn. Bhd., manakala lapan kende­raan tempur IAG Jaws yang dipercayai akan digunakan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dibekalkan Global Komited Sdn. Bhd.

Yang turut tersenarai dalam kontrak perolehan itu ialah pembekalan alat pemantauan elektronik (EMD) oleh Ujud Sentosa Sdn. Bhd. bagi kegunaan ke atas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Tidak terkecuali ialah pembelian raifal tempur Colt M4 dengan peluru berkaliber 5.56 milimeter yang dihasilkan syarikat pertahanan tempatan, SME Ordanance Sdn. Bhd. bagi kegunaan anggota polis.

Bagi kontrak sewaan pula, kementerian itu menandatangani perjanjian dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan AirAsia Berhad (AirAsia) untuk operasi-operasi khas.

(Utusan)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar