16 Oktober 2015

Malaysia Perkenalkan UAV Baru Tipe Medium

16 Oktober 2015


Pesawat tanpa pemandu penderiaan jauh (UAV-RS), dapat mencapai ketinggian 3 km dan daya jelajah 100 km dan endurance empat jam (photo : Utusan)

MOSTI bangunkan sistem UAV-RS pantau bencana

KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Tek­no­logi dan Inovasi menerusi Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) berjaya membangunkan sistem pesawat tanpa pemandu penderiaan jauh (UAV-RS) yang berupaya meningkatkan kecekapan memperoleh maklumat permukaan bumi untuk memenuhi keperluan pemantauan bencana di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Madius Tangau berkata, program sistem UAV-RS yang dimulakan pada 2008 dengan kerjasama ARSM, Universiti Multimedia (MMU) dan UST. Sdn. Bhd., telah siap dibangunkan pada akhir 2013 dengan menggunakan geran Technofund yang berjumlah RM3 juta.

Katanya, data sistem UAV-RS juga boleh digunakan untuk memenuhi keperluan segera dalam bidang lain antaranya keselamatan dan pertahanan negara, perhutanan, pemantauan pembukaan tanah, masalah jerebu iaitu mengenal pasti lokasi titik panas serta kegunaan awam lain.

“Sistem pesawat udara tanpa pemandu itu mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pencapaian ini merupakan satu landasan yang penting untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berkebolehan sendiri dalam membangunkan teknologi UAV-RS dan dijadikan asas kepada pembangunan industri UAV negara berteraskan teknologi serta kepakaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan sistem tersebut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ke­tua Setiausaha (Dasar) kementerian, Datuk Dr. Azahar Yahya dan Ketua Pengarah ARSM, Azlikamil Napiah.

Mengulas lanjut beliau berkata, sistem UAV-RS telah melakukan operasi penerbangan selama 180 jam dan empat minit sejak tahun 2014.

“UAV-RS merangkumi komponen pesawat, UAV, sistem ka­mera penderiaan jauh dan stesen kawalan bumi mudah alih. Ia juga dilengkapi dengan sistem sensor radar yang telah ditingkatkan keupayaan dan sistem sensor optikal.

“Sistem tersebut berupaya mengumpul maklumat permukaan bumi dalam lingkungan 100 kilometer (km) dari pusat kawalan,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, maklumat segera yang diperoleh melalui operasi UAV-RS juga boleh digabungkan dengan informasi dalam pangkalan data bersepadu sedia ada di ARSM untuk menghasilkan ‘output’ yang dapat membantu agensi kerajaan ketika membuat penilaian, ramalan, keputusan dan tindakan susulan dengan lebih cepat serta efisien.


UAV-RS (photo : The Star)

Dalam pada itu. Madius berkata, pihaknya juga akan mengguna pakai sistem pesawat udara tanpa pemandu yang dibina itu untuk memantau keadaan banjir di negara ini.

Katanya, sistem UAV-RS akan digunakan bagi mendapatkan da­ta tambahan dan menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak berkuasa apabila berhadapan de­ngan bencana itu.

“Kami masih akan menggunakan satelit sedia ada untuk mendapatkan imej tanah tetapi untuk data yang lebih terperinci lagi, kami akan guna pakai sistem UAV-RS kerana ia memberikan imej tiga dimensi (3D).

“Malah, dengan penggunaan UAV-RS, kita juga boleh mendapatkan data dalam waktu sebenar dan semua maklumat ini akan di­salurkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.

Infografik:
--------------
Spesifikasi UAV-RS
* Berat maksimum - 185 kilogram (kg)
* Ketinggian terbang maksimum - 3 kilometer (km)
* Tempoh penerbangan maksimum - 4 jam
* Jenis bahan api yang digunakan - RON 95
* Penghantaran data secara ‘real time’ (waktu sebenar)
* Berupaya berlepas dan mendarat secara automatik
* Berdaftar sebagai ‘state aircraft’ (pesawat milik kerajaan) dengan DGTA dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

(Utusan)

1 komentar:

  1. Harap UAV RS akan dipertingkatkan lagi kemampuan nya..dari sistem radar dan kemampuan jam terbang kebih lama utk menyaingi UAV keluaran Barat. .

    BalasHapus