Fregat TLDM KD Lekiu (photo : Azri Zainul)
SEBAGAI tonggak pertahanan maritim negara, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keselamatan kedaulatan perairan negara.
Latihan itu merupakan latihan gabungan armada TLDM yang pertama dilaksanakan oleh TLDM melibatkan aset strategik kapal selam negara yang pertama iaitu KD Tunku Abdul Rahman.
Ia juga merupakan latihan peperangan terbesar TLDM yang melibatkan 10 buah kapal TLDM yang berpangkalan di Lumut, Kuantan dan Kota Kinabalu.
Kapal selam tembak tepat
Terdahulu sebelum latihan dilakukan, KD Tunku Abdul Rahman dalam Eksesais Taming Sari 15/10 telah berjaya melancarkan peluru berpandu dari bawah permukaan ke permukaan jenis EXOCET SM 39.
Selain kapal selam KD Tunku Abdul Rahman, 10 buah kapal TLDM yang terlibat adalah kapal pemerintah KD Sri Indera Sakti, dua buah kapal Frigate (penangkis kapal selam), KD Lekiu dan KD Lekir; empat buah kapal ronda generasi baru TLDM, KD Pahang, KD Kedah, KD Perak dan KD Terengganu; dua kapal penangkis periuk api KD Mahamiru dan KD Ledang, sebuah kapal pengangkut trup laju, KD Sri Gaya dan sebuah bot tempur.
Ketua Staf Markas Armada, Laksamana Pertama Mior Rosdi Mior Mohd. Jaafar telah memikul tugas sebagai Komander Angkatan Tugas 34 (KAT 34) selaku Pegawai Pengendali Eksesais.
Kapal MCMV TLDM Mahamiru class (photo : Militaryphotos)
Beliau bertanggungjawab kepada Panglima Armada TLDM dalam memastikan latihan yang dirancang dan dilaksanakan berjaya mencapai objektif yang disasarkan.
"Kehadiran kapal selam dalam inventori TLDM tidak dapat disangkal telah meningkatkan keupayaan TLDM. Dengan adanya kapal selam sendiri, TLDM tidak lagi perlu bergantung pada penglibatan kapal selam tentera laut negara sahabat untuk melatih kapal-kapal penangkis kapal selam TLDM dalam melaksanakan taktik dan prosedur peperangan bawah permukaan untuk mengesan dan memusnahkan kapal selam.
"Melalui latihan bersama kapal selam ini, kapal-kapal di permukaan dapat merasai saat sukar bagaimana untuk mengesan kapal selam yang berada di dasar laut.
"Pada masa yang sama perlu sentiasa berwaspada serangan oleh KD Tunku Abdul Rahman yang amat senyap menyebabkan kedudukannya sukar dikesan,'' katanya.
Kapal cepat pengangkut pasukan TLDM KD Sri Gaya (photo : TLDM)
KD Tunku Abdul Rahman, jelas Mior Rosdi, mempunyai kelebihan penderia yang canggih dan berupaya mengesan bunyi (signal akuastik) kapal-kapal di permukaan dengan cepat dan berjaya melaksanakan serangan dari bawah air dengan tepat.
Dengan kelebihan tersebut, kapal-kapal permukaan tidak tahu arah ancaman dari bawah permukaan akan berlaku dan perlu sentiasa bersedia mengatasinya.
"Latihan secara gabungan ini juga dapat digunakan oleh KD Tunku Abdul Rahman dan kapal-kapal permukaan dalam memantapkan lagi prosedur dan taktik masing-masing dalam melaksana dan menangkis serangan.
"Selain itu, melalui latihan ini juga, semua sistem kawalan dan pemerintahan markas-markas operasi dalam TLDM juga turut diuji dan dinilai khususnya aspek saluran pemusatan maklumat, pemerintahan dan kawalan.
"Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari hasil pelaksanaan latihan ini, keupayaan merancang dan mengatur gerak armada dalam melaksanakan serangan telah dinilai baik dan segala kelemahan telah dikenal pasti untuk ditambah baik,'' ujarnya.
Dalam latihan ini, 10 buah kapal TLDM yang terlibat dibahagikan kepada dua gugusan iaitu Gugus Biru (Sahabat) dan Gugus Jingga (Musuh).
Setiap gugus diberi misi tertentu seperti mencari dan memusnahkan pihak lawan, mempertahankan kedudukan dan menceroboh kawasan lawan berdasarkan maklumat perisikan yang diberi oleh pengendali eksesais.
Gugus tugas kapal-kapal, pesawat dan kapal selam akan berkomunikasi antara satu sama lain dalam merancang dan menyampaikan arahan serta mengatur strategi dalam menyelaraskan sesuatu pergerakan atau serangan.
(Utusan Malaysia)
Good..Majulah Malaysia...Aminn..
BalasHapusKomentar ini telah dihapus oleh pengarang.
BalasHapusBukti kapal selam malaysia mampu membuat serangan hebat pada kedalaman 55 meter dengan tepat mengenai sasaran. ecozet merupakan peluru yang meletup sebanyak 2 kali. letupan pertama membuat lubang dan letupan kedua akan menenggelamkan kapal musuh
BalasHapus