11 Agustus 2014
KAPAL kelas KD Perdana (FAC-M 47m) yang menjangkau 42 tahun perlu diganti untuk menjaga Esscom. (photo : rongcoithit)
KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan dua skuadron kapal serang laju baharu bagi menggantikan kapal kelas KD Perdana dan KD Handalan untuk menjaga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, faktor usia kelas KD Perdana yang menjangkau 42 tahun dan kelas KD Handalan yang kini berusia 35 tahun tidak memungkinkan untuk aset tersebut dapat memberi khidmat secara optimum.
Menurutnya, TLDM memerlukan kapal serang laju moden yang bersaiz sederhana iaitu antara 60 hingga 80 meter kerana kapal jenis tersebut lebih sesuai untuk diatur gerak di perairan timur Sabah, selain turut disokong dengan bot tempur sedia ada.
"Kita memerlukan lapan buah atau dua skuadron kapal serang laju moden yang berukuran sederhana tetapi memiliki kuasa pecutan dan tembakan yang mantap. Saiz sederhana penting bagi menjamin kapal dapat bertahan dalam keadaan laut bergelora.
KAPAL kelas KD Handalan (FAC-M, 44m) yang berusia 35 tahun tidak mungkin memberi perkhidmatan secara optimum. (photo : Helen Krmic)
"Kita faham soal kekangan bajet untuk bidang pertahanan tetapi kos untuk mendapatkan kapal serang laju ini lebih murah dan berbaloi kerana kapal ini memiliki keupayaan tempur permukaan digeruni," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
KD Perdana serta KD Handalan merupakan kapal perang yang dibina berasaskan kerangka La Combattante II dan dilengkapi dengan meriam utama dan sekunder daripada jenis Bofors, selain turut membawa bersama-samanya peluru berpandu antikapal Exocet MM38.
Namun, disebabkan TLDM menamatkan penggunaan peluru berpandu Exocet MM38, dipercayai kesemua lapan kapal kelas KD Perdana dan KD Handalan kini hanya dilengkapi dengan meriam utama dan sekunder sahaja.
Sementara itu, ditanya tentang jumlah bot tempur milik TLDM, khususnya CB90 yang ditempatkan di Esscom, Abdul Aziz enggan mendedahkan, sebaliknya beliau berkata, jumlah yang dimiliki pasukan tersebut memadai dan boleh digerakkan sepanjang masa.
"Perairan timur Sabah tidak begitu sesuai untuk kapal-kapal bersaiz korvet dan friget terutamanya jika operasi melibatkan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina kerana aset paling baik ialah bot tempur tetapi jumlah yang ada di sana memadai," katanya.
(Utusan)
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar