08 Februari 2013

Satelit Mikro Kedua RazakSAT-2 Dilancar 2015

08 Februari 2013


Satelit RazakSat 2 merupakan penerus satelit RazakSat 1 yang telah diluncurkan pada Juli 2009 (photos : ATSB) 

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal mempunyai sebuah lagi satelit penderiaan jauh bagi memantau permukaan bumi iaitu RazakSAT-2 yang dijadual dilancar pada 2015. 

Ketua pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr Mustafa Din Subari berkata, program pembangunan RazakSAT-2 dimulakan awal tahun ini dan dijangka mengambil masa selama kira-kira dua tahun lebih untuk disiapkan.

"RazakSAT-2 akan siap sama ada pada penghujung 2014 atau awal 2015 dan merupakan satelit 'remote sensing' yang boleh memberikan imej beresolusi tinggi kepada pengguna imej satelit di dalam negara dan di peringkat antarabangsa," katanya. 

Beliau yang ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-19 Planetarium Negara di sini, hari ini berkata RazakSAT-2 dibangunkan oleh Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) yang merupakan syarikat perintis dalam pembangunan satelit di Malaysia. 

ATSB juga adalah syarikat yang membangunkan program satelit mikro pertama negara, RazakSAT yang telah dilancarkan empat tahun lalu. 

Ditanya di mana satelit itu akan dilancar, Mustafa berkata, lokasi pelancaran belum ditetapkan dan hanya akan diputus selepas RazakSAT-2 siap.



Pada 9 September 2011, media melaporkan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus mengumumkan kelulusan peruntukan siling RM200 juta khusus bagi meningkatkan program pembangunan satelit negara, dengan menggerakkan program lima tahun RazakSAT-2. 

Beliau berkata, RazakSAT-2 adalah kesinambungan Program Satelit RazakSAT yang dilancar pada 14 Julai 2009 dan skop teknologi pembangunan RazakSAt-2 adalah untuk menaik taraf keupayaan sistem terutama dari segi perisian dan peralatan satelit. 

Satelit penderiaan jauh pertama negara, RazakSAT dilancar di Kwajalein Atoll, Republik Marshall Islands menerusi sistem pengangkut pelancar, Falcon 1 yang dikendalikan Space Explortion Technologies Amerika (SpaceX). 

RazakSAT yang dinamakan sempena nama Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein adalah seberat 180 kilogram dan merupakan satelit penderiaan jauh pertama yang mengorbit Khatulistiwa. 

RazakSAT membawa kamera resolusi tinggi yang merakam imej dari angkasa untuk pelbagai aplikasi seperti pertanian tepat, memeta lanskap, pencegahan bencana, rancangan rangkaian jalan dan bandar, yang memberi manfaat kepada Malaysia dan negara lain di sekitar garisan Khatulistiwa.

(Berita Harian)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar