10 September 2012

Kerja Naik Taraf Pangkalan TLDM Tawau Siap Pertengahan Tahun Depan

10 September 2012

Pangkalan TLDM Tawau, Sabah (photo : Google Earth)
 
SEMPORNA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerja menaik taraf pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Tawau akan siap pada pertengahan tahun depan.

Beliau berkata, kerja menaik taraf pangkalan itu yang menelan belanja kira-kira RM50 juta, berjalan mengikut jadual. "Ia (kerja naik taraf) adalah untuk mempersiapkan pangkalan Tawau ini sebagai satu pangkalan satu unit, kerana kami akan menambah baik atau menaik taraf pangkalan laut di sekitar kawasan pantai Sabah dan Sarawak," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Semporna yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut Ahmad Zahid, usaha menaik taraf pangkalan TLDM di kedua-kedua negeri berkenaan dianggap satu keperluan semasa negara, ditambah dengan permasalahan yang timbul daripada tuntutan bertindih di beberapa kawasan berhampiran.

"Atas nama kedaulatan negara ini, kami merasakan bahawa kedaulatan sempadan air dan negara kita harus dipertahankan tanpa adanya usaha provokasi oleh pihak ketiga atau pihak kita sendiri," katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar