MALAYSIAN Defence And Security Tecknology Park Sdn. Bhd.
(MDSTP) akan merancakkan lagi industri pertahanan negara apabila menandatangani
memorandum persefahaman (MoU) dengan lapan syarikat pertahanan Itali di London
baru-baru ini.
Syarikat Itali terlibat ialah Alenia Aermacchi S.p.A,
AgustaWestland S.p.A, Whitehead Alenia Sistemi Subacquei (WASS), Whitehead
Alenia Sistemi Subacquei (WASS), Selex Galileo S.p.A, Selex Sistemi Integrati
S.p.A., Sitt Liguria Technological District S.c.p.a dan Telespazio S.p.A.
MDSTP yang terletak di Sungkai, Perak merupakan syarikat
kerjasama antara Kementerian Pertahanan dengan sebuah syarikat tempatan,
Masterplan Consulting Sdn. Bhd. (MCSB).
Ketua Pegawai Eksekutif MDSTP, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim
berkata, industri pertahanan memerlukan hab khusus yang serba lengkap bagi
menyediakan platform pengembangan dan pengkomersialan teknologi di samping
boleh merangsang dan menjana idea baru yang mampu membuahkan hasil lebih
berdaya saing.
Menurutnya, MDSTP merupakan sebuah taman teknologi yang kos
pembangunan keseluruhannya bernilai RM15 bilion dan mempunyai keunikan
tersendiri apabila ia direkodkan sebagai hab industri pertahanan dan
keselamatan terbesar negara dan yang pertama di rantau Asia .
"Ia membabitkan industri avionik dan aeroangkasa,
automotif, maritim, senjata, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengguna
biasa yang memberi sokongan kepada industri pertahanan," katanya dalam
majlis tersebut di London
baru-baru ini.
Turut menyaksikan majlis menandatangani MoU itu yang
diadakan sempena Pameran Udara Farnborough 2012 itu ialah Menteri Pertahanan,
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Bagi peringkat awal, kata Ahmad Faris, kos pembangunan kasar
(GDC) MDSTP adalah sebanyak RM1.4 bilion dan ia akan dilengkapi infrastruktur
terbaik meliputi aspek fizikal, teknologi maklumat dan komunikasi serta
mempunyai jalan masuk baru dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ke pusat
logistik yang bakal menyediakan pengangkutan dan kemudahan pengagihan lebih
lancar.
Katanya, kemudahan yang akan dibangunkan termasuk pusat
pendidikan, pejabat, pusat komersial, kemudahan sokongan, pusat penginapan
serta taman rekreasi yang dirancang akan memberi keseimbangan kepada MDSTP.
"MDSTP juga akan menyediakan kemudahan bertaraf dunia
dan serba moden termasuk pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta
kemudahan keselamatan siber bagi memenuhi keperluan syarikat-syarikat industri
pertahanan terbabit," katanya.
MoU itu dijangka menarik pelaburan baru ke negara ini
berjumlah kira-kira RM4 bilion dan menawarkan 50,000 peluang pekerjaan dalam
pelbagai bidang di sekitar Sungkai sepanjang tempoh pembangunannya selama 12
tahun.
Ahmad Faris berkata, selain faktor lokasi yang cukup
strategik di ASEAN, kos buruh yang lebih rendah berbanding Itali, kestabilan
politik, pasaran lebih luas, peluang perkembangan teknologi tinggi yang pesat
membangun dan tawaran insentif menarik berjaya mempengaruhi pelabur Itali
memilih negara ini sebagai tempat pelaburan menguntungkan.
Menurutnya, MDSTP dijadual memulakan kerja-kerja pembersihan
tanah dan pembinaan infrastruktur awal tahun depan.
Beliau turut menjangkakan bangunan pertama di taman
teknologi itu akan beroperasi pada suku ketiga 2014 dan syarikat Itali
berkenaan bakal memulakan operasi pada tahun berikutnya.
(Utusan)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar